Dilarang jual lambang negara atau tiruan serupa: KPN
KUALA LUMPUR - Orang ramai tidak boleh menggunakan nama atau lambang ternyata atau tiruan serupa untuk tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, menurut Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016, lambang ternyata merangkumi jogan, jata dan mohor rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Mohor Besar Persekutuan, Jata Persekutuan, meterai rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, darjah dan lambang kebesaran.
“Pingat, lencana dan bintang kehormatan yang ditetapkan oleh statut Yang di-Pertuan Agong, lambang Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan lambang Bank Negara Malaysia juga termasuk dalam lambang ternyata.
'Mereka yang didapati berbuat demikian boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Menurutnya, polis menerima satu laporan berhubung penjualan lambang ternyata secara berleluasa dalam talian pada 1 Julai lalu.
Media sebelum ini melaporkan polis memulakan siasatan berhubung penjualan pingat, pelekat kereta dan barangan lain yang mempunyai lambang Jata Negara serta darjah kebesaran lain yang dikeluarkan Sultan dan Yang Dipertua Negeri.
Selain Jata Negara, banyak barangan lain yang berkaitan dengan agensi penguatkuasaan antaranya Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang dijual termasuk menerusi platform dalam talian (e-dagang). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!