Cadang bahasa isyarat dijadikan bahasa ketiga

Ras Adiba diiringi Timbalan Pengerusi Yayasan Suara Rakyat Malaysia, Bala Gopal (berdiri) tiba ketika menghadiri program Pemberian 50 Kerusi Roda Percuma di Rukun Tetangga Batu Gajah hari ini.
Ras Adiba diiringi Timbalan Pengerusi Yayasan Suara Rakyat Malaysia, Bala Gopal (berdiri) tiba ketika menghadiri program Pemberian 50 Kerusi Roda Percuma di Rukun Tetangga Batu Gajah hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Bahasa isyarat dicadang dijadikan bahasa ketiga dan perlu diterapkan dalam modul pendidikan di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi berkata, mempelajari bahasa isyarat bermula dari peringkat sekolah dilihat penting bagi membentuk komuniti inklusif antara orang kurang upaya (OKU) dan individu normal.

“Apabila bahasa isyarat dijadikan bahasa ketiga bermula dari pra sekolah atau sekolah rendah, semua akan tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan mereka yang pekak dan bisu.

“Malah, kelebihan itu boleh membentuk kerjaya dengan menjadi juru bahasa dan perlahan-lahan menjadikan negara mesra OKU,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Pemberian 50 Kerusi Roda Percuma anjuran Yayasan Suara Rakyat Malaysia di Rukun Tetangga Batu Gajah, di sini hari ini.

Justeru, Ras Adiba berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan bagi tujuan tersebut.

“Saya percaya untuk memperkasakan OKU, kita mesti bekerja sebagai sebuah pasukan melibatkan semua kementerian, bukan sahaja di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU). Ia pasukan yang memerlukan penglibatan semua,” kata beliau.

Secara umumnya, bahasa isyarat adalah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berhasrat untuk memperkasakan akta berkaitan OKU agar permasalahan yang dihadapi golongan itu dapat diselesaikan.

“Akta OKU kini tidak dikuatkuasakan sepenuhnya misalnya di parkir untuk OKU, ada pengguna tidak kisah berikutan tiada sebarang tindakan yang diambil.

Begitu juga dengan spesifikasi bangunan yang masih tidak menitik beratkan keperluan golongan ini.

“Selain itu, isu pengambilan pekerja perlu dilihat apabila tiada penguatkuasaan seperti kuota atau peratusan pengambilan pekerja OKU di bahagian korporat

dan bukan korporat menyebabkan ada golongan ini yang ketinggalan,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!