Pasangan kekasih kes campak bayi direman

Mayat bayi perempuan ditemukan penduduk di pangsapuri di laluan ke parkir di tingkat empat.
Mayat bayi perempuan ditemukan penduduk di pangsapuri di laluan ke parkir di tingkat empat.
A
A
A

GEORGETOWN - Remaja perempuan berusia 18 tahun yang didakwa mencampak bayi yang baru dilahirkan dan teman lelakinya direman selama enam hari untuk siasatan lanjut bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pelajar kolej itu kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut selepas melahirkan bayi perempuan di dalam tandas rumahnya kira-kira jam 8.18 pagi semalam.

Menurutnya, keadaan remaja perempuan itu kini dilaporkan stabil.

"Perintah reman dikeluarkan di tempat remaja itu menerima rawatan selepas majistret dan pegawai mahkamah hadir ke wad terbabit sebentar tadi.

"Remaja berkenaan sedang menerima rawatan susulan dan akan menjalani sesi kaunseling sebelum dibenarkan keluar mungkin pada petang Isnin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Soffian berkata, perintah reman selama enam hari turut dikeluarkan terhadap teman lelakinya yang juga berusia 18 tahun yang kini ditahan di Lokap Berpusat Bayan Baru untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis menahan pasangan kekasih bagi membantu siasatan kes campak bayi yang baru dilahirkan dari tingkap tingkat 13 Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam di sini.

Remaja perempuan itu ditahan di rumahnya di pangsapuri tersebut kira-kira jam 11.30 pagi manakala teman lelakinya ditahan di sebuah rumah di Jalan Penawar kira-kira 30 minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Soffian sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati remaja terbabit mengaku mengadakan hubungan intim dengan teman lelakinya sehingga hamil namun tidak memberitahu keluarganya mengenai perkara tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!