Terengganu, Lombok jalin kerjasama
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menerima kunjungan seramai 14 delegasi daripada Lombok Utara untuk berbincang mengenai jalinan kerjasama yang akan dibangunkan oleh kedua-dua pihak.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terdapat tiga sektor yang dilihat mempunyai potensi untuk diberi tumpuan iaitu sektor pelancongan, perikanan dan pendidikan.
“Lombok dan Terengganu mempunyai beberapa persamaan terutama dari segi demografi masyarakat nelayan dan pelancongan yang menjadi satu sektor yang begitu besar di Lombok.
“Di Terengganu kita mempunyai 244 kilometer (km) pantai manakala Lombok mempunyai lebih 120km pantai dan juga mempunyai pulau yang menarik.
"Jadi, kita mempunyai potensi untuk meluaskan rangkaian pelancongan di sana.
“Kita mahu pelancong yang datang ke Lombok juga dimaklumkan mengenai potensi pelancongan di Terengganu manakala pelancong yang berkunjung ke Terengganu juga tahu mengenai produk pelancongan di Lombok,”katanya ketika ditemui media selepas menghadiri pertemuan bersama wakil delegasi yang diadakan di Pejabat Menteri Besar, di sini, semalam.
Selain itu, katanya, sektor perikanan di Lombok yang tidak terdedah kepada keadaan monsun mempunyai kelebihan yang dapat membantu situasi yang melanda industri perikanan di negeri ini.
“Di Terengganu, pada Oktober hingga awal Februari kita berdepan dengan keadaan monsun menyebabkan bekalan atau stok ikan kita berkurangan sehingga terpaksa mendapatkan bekalan ikan dari luar.
“Jadi, kita boleh melihat potensi ekonomi yang lebih baik untuk membawa masuk ikan-ikan dari Lombok untuk menampung keperluan di Terengganu,” katanya.
Menyentuh mengenai sektor pendidikan, katanya, ia juga mempunyai potensi yang baik untuk dijalinkan memandangkan telah ada pelajar dari situ dihantar ke negara ini.
“Terengganu mempunyai institusi pengajian tinggi yang bersesuaian dan ini adalah antara sektor yang berpotensi untuk dikembangkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!