UMNO Sabah akan pertahan semua kerusi tradisi
KOTA KINABALU - Semua kerusi tradisi milik UMNO Sabah akan dipertahankan sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.
Menurut laporan portal FMT, Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ia termasuk kerusi yang kini diwakili oleh bekas ahli UMNO yang melompat parti.
“UMNO Sabah akan bekerjasama dengan parti lain yang tidak bersekutu dengan Warisan.
“Pada dasarnya, UMNO Sabah akan bertanding di semua kerusi tradisi parti.
“Rundingan akan dijalankan dengan parti lain selepas ini manakala kerusi dimenangi oleh UMNO tidak termasuk dalam rundingan,” katanya.
Kenyataan Bung yang juga ahli Parlimen Kinabatangan itu susulan pengumuman Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa UMNO Sabah boleh memilih untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.
Pada PRU14 lalu, UMNO Sabah bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Kinabatangan, Silam, Libaran, Semporna dan Kalabakan.
Bagaimanapun parti itu tewas di tujuh kerusi iaitu di Kota Belud, Sepanggar, Papar, Tenom, Silam, Semporna dan Kalabakan.
Tahun lalu, lima ahli Parlimen UMNO Sabah melompat parti menyertai Bersatu iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain berkata pendirian Bung itu sudah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua pemimpin tertinggi Umno negeri itu semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!