Rahsia Timur hadapi Covid-19
PENULARAN virus Covid-19 telah menunjukkan perbezaan yang ketara cara dan hasil negara-negara di sebelah Timur khasnya Asia misalnya China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia menghadapi berbanding negara-negara di Barat seperti AS, Britain, Itali, Perancis, Kanada dan Jerman. Secara statistik negara-negara Asia didapati lebih berjaya mengawal penularan virus Covid-19 serta bilangan kematian lebih rendah berbanding negara-negara Eropah dan Amerika Utara.
Sehingga awal Julai bilangan pesakit Covid-19 di AS (3.2 juta orang dan 135,822 kematian), Sepanyol (300,136 orang pesakit dan 28,401 kematian), Britain (287,621 orang pesakit dan 44,602 kematian), Itali (242,363 orang pesakit, 34, 926 kematian), Jerman (199,198 orang pesakit, 9,125 kematian), Perancis (170,094 orang pesakit, 29,979 kematian) dan Kanada (106,805 orang pesakit, 8,749 kematian).
Manakala di sebelah Timur khasnya di Asia angka pesakit Covid-19 jauh lebih rendah misalnya China dimana virus ini pertama sekali dikesan (83,585 orang pesakit, 4,634 kematian), Jepun (20,371 orang pesakit, 981 kematian), Korea Selatan (13,338 orang pesakit, 288 kematian), Malaysia (8,683 orang pesakit, 121 kematian), Vietnam (11,723 orang pesakit, tiada kematian dilaporkan).
Persoalan bagaimana fenomena sedemikian boleh berlaku? Apakah ‘rahsia’ kejayaan negara-negara Asia untuk menghadapi pandemik Covid-19? Artikel ini menyenaraikan lima faktor utama.
Pertama, tahap persediaan dan pengurusan krisis di Asia lebih mantap berbanding dalam kalangan negara-negara Eropah dan AS. Pada awal Januari apabila keadaan di Wuhan, China menjadi semakin serius negara-negara jiran seperti Korea Selatan dan Jepun telah mula bertindak menyekat perjalanan dengan China serta mempergiatkan ujian mengesan Covid-19.
Berbanding dengan negara-negara Barat misalnya AS pada peringkat awal, Presiden Donald Trump tidak mengambil berat tentang penularan virus Covid-19 malah beliau pernah menyamakannya dengan selesema biasa tidak sehingga 31 Januari baru Trump mengisytiharkan sekatan perjalanan dengan China.
Kedua, adalah pengalaman negara-negara Asia menghadapi wabak penyakit terdahulu seperti SARS, MERS, virus Zika, demam denggi telah memberi pengajaran supaya sentiasa siap siaga.
Malah memakai topeng muka sudah menjadi suatu amalan biasa sebelum penularan Covid-19 terutama apabila seseorang menghidap batuk atau selesema. Oleh demikian, apabila pandemik Covid-19 berlaku di Asia tiada bantahan untuk memakai topeng muka berbanding di Barat.
Selain itu, agensi-agensi kerajaan di Asia seperti Kementerian Kesihatan, anggota polis dan tentera lebih bersiap siaga untuk menghadapi krisis penularan virus kerana mereka sudah mempunyai pengamalan menghadapi wabak penyakit.
Ketiga, kepimpinan para pemimpin di Asia lebih bersifat proaktif dengan mengambil langkah drastik untuk mengawal penularan Covid-19. Misalnya dengan pengisytiharan perintah kawalan pergerakan. Bukan sekadar itu sahaja malah pemimpin di Asia sendiri sering kali kelihatan memakai topeng muka dan sarung tangan sebagai teladan bagi penduduknya contohi.
Misalnya Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin kelihatan memakai topeng muka sewaktu perhimpunan di Jabatan Perdana Menteri, ketika berada di parlimen serta majlis kerasmian yang lain.
Begitu juga Presiden China, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sentiasa kelihatan memakai topeng muka. Berbanding dengan pemimpin dari Barat mereka tidak gemar untuk memakai topeng muka kerana bimbang menyinggung perasaan penduduk sehingga boleh menyebabkan populariti mereka jatuh.
Keempat, faktor kebudayaan dan tradisi. Di Barat aspek kebebasan individu lebih diutamakan berbanding kepentingan bersama. Oleh demikian, ramai penduduk di negara-negara Barat seperti AS secara terbuka membantah perintah kawalan pergerakan kononnya hak kebebasan mereka telah tergugat.
Malah mereka mengadakan demonstrasi jalanan dengan berkumpul beramai-ramai, tidak memakai topeng muka, enggan menggunakan pembersih tangan sebagai tanda protes tanpa memikir kemungkinan virus Covid-19 boleh merebak dengan mudah. Amat berbeza dengan penduduk di Asia yang lebih akur dan patuh kerana mementingkan kebaikan bersama dan bukan sekadar kepentingan individu.
Perkara ini mungkin juga disebabkan oleh pegangan tradisi dan agama di Asia yang lebih mementingkan komunti masih kuat berbanding di Barat yang lebih mengutamakan sekularisme dan individualisme.
Kelima kebanyakan pengeluar barangan kesihatan seperti sarung tangan, topeng muka, alat menguji Covid-19 terletak di Asia seperti China, Vietnam dan Malaysia. Kelebihan ini memberi manfaat kepada negara-negara Asia untuk membolehkan peralatan kesihatan dieskport dan dikongsi bersama.
Misalnya Malaysia sebagai salah satu pengeluar sarung tangan yang terbesar di dunia telah membantu menghantar stok sarung tangan ke China sewaktu China berhadapan penularan Covid-19 pada Januari dan Februari. Apabila Malaysia berhadapan dengan masalah kekurangan topeng muka pada Mac dan awal April China sebagai pengeluar topeng muka telah membalas dengan menghantar stoknya ke Malaysia.
Akhir kata, Covid-19 merupakan suatu pandemik yang menyerang tidak kira bangsa, warganegara dan agama. Bagaimana pun amat jelas masyarakat Asia lebih tabah dan berjaya menghadapinya berbanding masyarakat Barat. Syabas dan tahniah kepada barisan hadapan yang terdiri daripada pengamal perubatan, pasukan keselamatan serta para pemimpin di Asia!
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!