Negeri Sembilan yakin kembali ke Liga Super
JUARA Liga Super 2006, Negeri Sembilan yakin akan kembali beraksi dalam saingan divisyen teratas Liga Malaysia (Liga-M) itu tahun depan, selepas tersingkir ke Liga Premier musim ini.
Pengurus pasukannya, Mohd Khairollah Abd Latif berkata skuad diberi jolokan ‘Hobin Jang Hobin’ itu yang kini berada pada fasa terakhir persiapan, mampu meraih kedudukan dua teratas saingan divisyen kedua itu pada tahun ini, walaupun dibarisi pemain muda.
“Kita yakin dan percaya pemain-pemain muda kita ada semangat juang dan matang untuk capai sasaran kedudukan dua teratas Liga Premier. Bagi saingan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia, kita berharap pasukan akan dapat keputusan positif.
“Dari segi pemain, kita sudah mengikat kontrak 21 pemain tempatan dan tiga pemain import, kini sedang menguji dua pemain dari Nigeria untuk melengkapkan pendaftaran pemain,” katanya kepada pemberita selepas majlis mengumumkan jenama sukan dari United Kingdom, Rhino Southeast Asia (Rhino SEA) sebagai penaja jersi Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini, semalam.
Tiga pemain import berkenaan ialah pemain tengah, Shunsuke Nakatake dari Jepun, serta dua pemain dari Brazil, Matheus Vila (bek tengah) dan Almir Neto yang boleh beraksi di bahagian sayap dan serangan.
Sebagai persiapan untuk menghadapi kempen liga, Negeri Sembilan yang kini di bawah kendalian Mohd Zan Mat Aris bakal mengharungi perlawanan persahabatan menentang Pahang di Temerloh, ini, sebelum memulakan aksi pertama Liga Premier menentang Sarawak di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, pada 2 Februari.
Sementara itu, kapten pasukan Norhafiz Zamani Misbah bertekad untuk membawa balik kegemilangan pasukan Negeri Sembilan yang dulu digeruni pihak lawan dan pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali.
“Saya bersyukur dan gembira untuk kembali bersama pasukan yang saya mulakan karier saya sebagai pemain profesional. Dengan nafas dan pengurusan baharu serta jurulatih berpengalaman seperti Mohd Zan dan hampir 80 peratus pemain muda, kita mampu mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan seperti era kami dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBNS, Satwant Singh berkata kerjasama dengan Rhino SEA bukan hanya melibatkan tajaan set pakaian lengkap (kit latihan dan pakaian kasual) pasukan utama.
“Malah tajaan bernilai RM2 juta selama dua tahun itu turut melibatkan tajaan jersi berjenama Rhino untuk skuad Piala Presiden, Piala Belia, pelatih Akademi Bola Sepak Zaaba dan program ‘Soccer Kids’ PBNS. Kita juga bangga untuk menjadi pasukan pertama untuk menjalinkan kerjasama dengan Rhino SEA.
“Selain tajaan pakaian, Rhino SEA juga mewujudkan jalinan kerjasama perniagaan seperti kerjasama dalam operasi Padang Bola Sepak Sintetik Rahang (Rahang Square) terletak di hadapan pejabat PBNS, yang selepas ini dikenali sebagai Arena Rhino PBNS dalam usaha menjana pendapatan tambahan,” katanya.
Pengerusi Rhino SEA, Nizamuddin Hamid berkata majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi akan diadakan di Mydin Seremban 2 pada 27 Januari ini, manakala pihaknya juga bakal membuka kedai cenderamata khas sebelum 15 Februari ini, untuk menjual barangan rasmi Negeri Sembilan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!