City berhak beraksi di UCL, kata Guardiola
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan kesebelasan skuad kendaliannya itu berhak untuk berada dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Guardiola berkata, berdasarkan kepada kecemerlangan yang ditunjukkan ketika membenam Brighton 5-0 di Stadium Amex, pada Sabtu, membuktikan bahawa mereka memang berhak bersaing dalam UCL.
Malah menurut Guardiola, kebanyakan pemain skuad The Citizens itu pernah beraksi dalam UCL bagi tempoh enam atau tujuh tahun sejak kebelakangan ini.
“Kita sangat berharap agar Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dapat menarik hukuman (penggantungan) kepada City pada mesyuarat yang dijadualkan berlangsung esok (hari ini).
“Seperti yang sering saya katakan, City tidak bersalah dalam isu melanggar undang-undang Financial Fair Play (FFP) dan disebabkan itu kesebelasan pemain dilihat berhak untuk berada dalam saingan UCL,” katanya.
Februari lalu, UEFA memutuskan untuk menggantung City selama dua tahun daripada menyertai kejohanan Eropah kerana melanggar peraturan Fair Play Kewangan (FFP) UEFA.
City turut dikenakan denda berjumlah RM134.5 juta (30 juta euro) atas kesalahan berkenaan.
Mengulas kemenangan ke atas Brighton, Guardiola berkata, kemenangan berkenaan membolehkan City mengukuhkan kedudukan bagi menamatkan saingan pada tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.
“Saya berpuas hati dengan segala-galanya malam ini terutamanya dengan keputusan perlawanan dan dengan tahap serta prestasi yang telah kami capai setakat ini, kami bersedia untuk beraksi dalam baki perlawanan di EPL dan juga UCL.
“Kami juga telah melupakan kekalahan kepada Southampton baru-baru ini kerana walaupun kami beraksi baik pada perlawanan berkenaan,
“Tetapi ia sesuatu yang aneh dalam bola sepak kerana kami tidak menjaringkan gol dalam perlawanan itu berbanding aksi malam ini apabila kami mencipta banyak peluang gol dan ia berjaya disempurnakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!