Kekalahan memalukan, Lampard takkan lupa sampai bila-bila

Pemain Sheffield United, David McGoldrick menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan. - Foto sports.yahoo.com
Pemain Sheffield United, David McGoldrick menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan. - Foto sports.yahoo.com
A
A
A

KEKALAHAN 0-3 Chelsea kepada Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Bramall Lane tidak akan dilupakan oleh pengendali skuad The Blues itu, Frank Lampard sampai bila-bila.

Lampard mengakui kekalahan memalukan itu boleh diibaratkan sebagai satu peringatan terbesar buat dirinya serta keseluruhan pasukan untuk sentiasa memberikan perhatian kepada persembahan pasukan ketika beraksi.

Malah Lampard turut mengakui, dia begitu risau memikirkan bagaimana kesebelasan pemainnya yang beraksi bagi peringkat 16 pasukan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), secara tiba-tiba 'rebah' kepada pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan musim lalu.

"Mereka ternyata lebih bagus berbanding kita. Dari segi fizikal dan mereka kelihatan lebih baik ketika mengawal bola berbanding kita.

"Mereka juga lebih kuat berbanding kita. Tanpa kehadiran penonton, kita boleh mendengar 'suara' dan segalanya yang saya boleh dengar hanya suara Sheffied United.

"Apa pun diharapkan kesebelasan Chelsea dapat melupakan kekalahan tersebut dan terus berjuang bagi menamatkan saingan EPL musim ini dalam kelompok empat pasukan terbaik," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Chelsea yang kini berada pada tangga ketiga EPL dengan 60 mata, berkemungkinan akan dipintas oleh Leicester City yang mengumpul 59 mata dan akan berdepan Bournmouth di Dean Court atau Manchester United yang akan melayan kunjungan Southampton di Old Trafford.

Bagaimanapun, Sheffield United yang kini mengumpul 54 mata berpeluang menamatkan saingan EPL musim ini pada tangga keenam buat julung kalinya sejak 1975.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali Sheffield, Chris Wilder berharap agar kesebelasan pemainnya tidak terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan berkenan kerana ia dilihat agak bahaya.

"Kita tidak akan terbawa-bawa tetapi kita meraikannya. Pemain saya telah beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan.

“Biarlah yang lain bercakap mengenai Eropah, saya tidak mahu mendengar ada pemain yang bercakap mengenainya (Eropah)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!