MB Kedah, Radhi sah perkuat pengurusan KFA
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) penggal 2018-2022 pada Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan tersebut di Wisma Darul Aman hari ini.
Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, pemilihan Muhammad Sanusi dipersetujui oleh 36 badan gabungan KFA yang mula bermesyuarat pada jam 10.15 pagi.
Pada kongres tersebut, legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Presiden KFA dan pemilihan yang dilakukan adalah berlandaskan statut KFA.
"Saya mendoakan semoga urusan KFA ketika ini dipermudahkan dan mendapat satu suntikan yang dinantikan selepas pelantikan Presiden dan Naib Presiden yang baharu.
"Semoga pelantikan ini melicinkan lagi pentadbiran KFA pada masa akan datang," kata beliau pada EGM KFA.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pada ucapan pertama beliau selaku Presiden KFA berkata, beliau mengalu-alukan semua pandangan daripada pelbagai pihak bagi terus memartabatkan pasukan Hijau Kuning di persada bola sepak negara dan antarabangsa.
Menurut beliau, ruang akan dibuka kepada semua ahli gabungan untuk menyampaikan pandangan dari semasa ke semasa kepadanya melalui pelbagai cara termasuk aplikasi WhatsApp.
"Kita akan susun kembali KFA untuk menjadi persatuan bola yang paling aktif, terbuka dan bukannya eksklusif. Akan ada ruang yang lebih luas untuk demokrasi bagi persatuan ini.
"Saya rasa dengan keterbukaan inilah yang akan mencapai tahap yang lebih baik khususnya di dalam sukan bola sepak. Serahkan urusan tersebut kepada ahlinya," kata beliau.
Bagi Radhi pula, beliau kembali ke KFA selepas kali terakhir bersama persatuan tersebut tujuh tahun lalu sebagai jurulatih.
"Ini mungkin sumbangan semula saya kepada KFA dan harap sokongan dari semua pihak amatlah diperlukan. Yang pastinya kita mahu lihat Kedah kembali ke landasan yang kita mahu.
"Kita teringin untuk membawa semula piala-piala pada saingan Liga Malaysia ke Kedah," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!