PRU15: Gerakan pertimbang tanding semua kerusi di Perak

Tean Seng (duduk, empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Gerakan Perak pada sidang media di Pejabat Gerakan Perak hari ini.
Tean Seng (duduk, empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa Gerakan Perak pada sidang media di Pejabat Gerakan Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Perak sedang mempertimbangkan untuk bertanding di semua kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk See Tean Seng berkata, calon-calon yang sesuai sedang dikenal pasti selain turut mengalu-alukan mana-mana individu berpotensi menyertai Gerakan untuk dipertimbangkan sebagai calon.

Beliau berkata, pihaknya terbuka menerima sesiapa sahaja menjadi ahli parti asalkan mereka memahami dan bersetuju dengan ideologi Gerakan.

"Kita sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka tidak lama lagi. Apa yang pasti, jumlah kerusi untuk kita pertandingkan nanti sudah tentulah melebihi kerusi-kerusi pada PRU yang lepas iaitu tiga kerusi Parlimen (Teluk Intan, Taiping dan Beruas) serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Aulong, Jalong dan Canning).

"Calon-calon yang dipilih bukan calon bidan terjun sebaliknya mesti merupakan anak tempatan. Mereka memang dikenali oleh masyarakat setempat dan telah bekerja untuk rakyat sebelum ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu di Pejabat Gerakan Perak di sini hari ini.

Menurutnya, Gerakan Perak juga tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan calon Melayu di kawasan-kawasan majoriti kaum tersebut pada PRU15 nanti.

"Bagaimanapun Gerakan akan melihat kembali jumlah kerusi itu jika mereka mempunyai rakan bersama untuk bertanding pada PRU15 nanti," katanya.

Sementara itu, Tean Seng berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat tentang khabar angin penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong ke dalam parti itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga kini tiada permohonan diterima daripada mana-mana bahagian Gerakan di Perak untuk Paul Yong menyertai parti itu.

"Kita membuka seluas-luasnya keahlian kepada sesiapa sahaja yang bersetuju dengan ideologi parti ini. Kalau Paul Yong nak sertai pun boleh tetapi dia mesti menyelesaikan kes di mahkamah terlebih dahulu sebelum diterima sebagai ahli.

"Tiada tawaran diberikan kepada mana-mana wakil rakyat bebas atau individu untuk menyertai kita asal dia menerima perjuangan parti, kita terima," katanya.

Ditanya sama ada ADUN Buntong, A Sivasubramaniam akan dipilih semula sebagai calon untuk PRU15 nanti mewakili Gerakan, Tean Seng menjelaskan masih terlalu awal untuk menentukan perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, Sivasubramaniam yang juga bekas ahli DAP itu mempunyai potensi dan berkelayakan untuk menjadi wakil rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!