Dua usul bakal pengaruhi Dewan Rakyat esok, kata penganalisis
SHAH ALAM - Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menjangkakan usul tersenarai dalam giliran dua dan tiga akan menjadi topik utama mempengaruhi suasana persidangan Dewan Rakyat, esok.
Beliau berkata, namun usul kedua agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain akan menjadi paling hangat.
"Ini kerana parti-parti pembangkang pasti akan mempersoalkan kewajaran untuk menukar Mohamad Ariff di pertengahan penggal tatkala beliau dikatakan mempunyai prestasi cemerlang dan tidak melakukan apa-apa kesalahan," katanya hari ini.
Terdahulu, kerajaan dilaporkan akan mengusulkan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Mohamad Ariff pada persidangan Dewan Rakyat ke-10.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul (AUM DR 13/7/2020) yang dimuat naik di laman web rasmi Parlimen Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengusulkan perkara tersebut selepas meminta Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.
Usul yang tersenarai dalam giliran dua dan tiga itu turut menyenaraikan usul supaya Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengosongkan jawatannya selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga akan mengusulkan nama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai pengganti Kor Ming.
Semua usul tersebut dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 4(1) dan 6(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Dr Kamarul berkata, sekiranya usul dua diluluskan parti-parti pembangkang juga dijangkakan cuba menonjolkan nama calon mereka sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menyaingi Azhar.
"Menariknya, walaupun kem Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah membentuk blok Bebas berasingan daripada blok Pakatan Harapan (namun) mereka kelihatan sekata dalam isu pengekalan dan pencalonan baharu Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat juga kebimbangan ada ahli Parlimen tertentu daripada Muafakat Nasional sama ada tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat atau menentang dan berkecuali di dalam usul kedua itu.
"Begitupun adalah dijangkakan bahawa usul kedua itu tidak akan menghadapi masalah untuk diluluskan," kata Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu.
Beliau berkata, sekiranya usul itu tidak diluluskan sekalipun, kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional tidak terjejas kerana tiada di dalam mana-mana undang-undang yang menghendaki Perdana Menteri meletakkan jawatan jika usul beliau dikalahkan.
"Malah di Malaysia sendiri pun pernah pada 9 April 2019 usul kerajaan untuk meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan membabitkan kedudukan Sabah dan Sarawak gagal tetapi tidak memberikan apa-apa implikasi kepada kedudukan Tun Dr Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan beliau," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kebimbangan lebih nyata ialah untuk usul ke tiga membabitkan cadangan agar Azhar dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat mengalami kekalahan kerana latar belakangnya dipersoalkan sesetengah ahli Parlimen Muafakat Nasional.
"Begitupun jika sekalipun usul ini menemui kegagalan tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana Perdana Menteri boleh sahaja mencadangkan nama baharu yang boleh dipersetujui semua ahli Parlimen Muafakat Nasional untuk undian seterusnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!