Seorang maut, dua cedera kereta terbalik

Anggota bomba mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit di Kilometer 15 Lebuhraya Pasir Gudang-Kempas, Johor Bahru malam tadi.
Anggota bomba mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit di Kilometer 15 Lebuhraya Pasir Gudang-Kempas, Johor Bahru malam tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 15 Lebuhraya Pasir Gudang-Kempas di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.28 tengah malam, kereta itu yang datang dari arah Taman Perling menghala ke Johor Bahru dipercayai dilanggar dari belakang sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

Kemalangan tersebut membuatkan mangsa terperangkap dalam kereta yang remuk teruk sebelum pihak bomba dipanggil untuk kerja-kerja menyelamat.

Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dikejarkan ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

Ketua operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Nazarudin Yusof berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).

"Difahamkan kenderaan mangsa dilanggar sebuah kereta yang tidak diketahui jenis dan nombor pendaftaran dari belakang sebelum terbalik di tepi jalan berkenaan.

"Pemandunya berusia 40 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori mengalami kecederaan parah di kepala.

"Rakannya, 27, cedera di tangan manakala seorang lagi rakannya, 38, yang bekerja swasta cedera di bahagian kaki," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua mangsa yang cedera itu dikeluarkan oleh orang awam manakala pemandunya semasa dikeluarkan pihak bomba disahkan sudah meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ambulans ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Pihak bomba katanya, membersihkan sisa kemalangan jalan raya dan kesan tumpahan minyak di atas jalan raya sebelum operasi tamat pada jam 2 pagi tadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!