KAJANG - Seorang bapa tergamak merogol dan melacurkan anak perempuannya di sebuah rumah di sini sejak tiga tahun lalu. Menurut sumber, kes itu diketahui oleh ibu saudara kepada remaja berusia 13 tahun itu pada awal bulan ini. "Remaja itu telah menceritakan kepada makciknya mengenai perbuatan terkutuk bapanya. "Remaja itu mendakwa bapanya membawa lelaki yang tidak dikenali ke rumah berkenaan ketika ketiadaan ibunya untuk melakukan aktiviti seks dengan bayaran yang dianggarkan RM100," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini. Sumber memaklumkan, mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu telah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.