Super KIP tekad lebih menyerlah

Khairul Idham - Foto Selangorkini
Khairul Idham - Foto Selangorkini
A
A
A

PELUMBA Moto2 Malaysia, Khairul Idham Pawi berazam untuk mengubah sepenuh mentalitinya dalam usaha meraih keputusan terbaik apabila Kejuaraan MotoGP 2019 bermula Mac ini.

Selepas mengharungi musim yang sukar pada 2018, pelumba Petronas Sprinta Racing berusia 20 tahun itu mahu memperbaiki pencapaiannya apabila musim baharu bermula pada Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail, nanti.

“Hasrat saya pada 2019 ini ialah mengubah sepenuhnya mentaliti saya, lupakan segalanya dan mulakan kembali supaya saya dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan mencapai keputusan positif. Kami mempunyai potensi untuk melakukannya.

“Semasa cuti musim sejuk, saya dapat berehat tetapi tidak sepenuhnya kerana saya menjalani latihan keras untuk lebih bersedia pada musim baharu ini. Ia menjadi tahun sangat penting kerana saya mahu melangkah lebih jauh.

“Saya berbasikal serta menjalani latihan di gimnasium dan bermotosikal agar bersedia untuk kembali bersaing pada Grand Prix,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pasukan Petronas Sprinta Racing di sini hari ini, menjelang pelancaran pasukan berkenaan di ibu negara pada 28 Jan ini.

Setelah pencapaian mendatar selepas dua musim bersama Idemitsu Honda Team Asia sejak penampilan pertamanya dalam Moto2 pada 2017, Khairul mengakui bahawa beliau perlu mengubah gaya tunggangannya pada musim ini walaupun menggunakan jentera sama, Kalex, namun dikuasakan dengan enjin baharu.

“Ia motosikal yang berbeza, maka terdapat beberapa aspek dalam tunggangan saya perlu diubah untuk disesuaikan dengan jentera itu. Terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua motosikal itu. Saya gemar motosikal musim lepas, namun ciri-cirinya sedikit berbeza,” katanya.

Mengenai objektif sesi ujian seterusnya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 11-13 Feb depan, Khairul berkata pasukannya perlu mendapatkan hasil terbaik terhadap enjin baharu itu, dan menjangkakan kerja yang mudah sebagai pasukan tuan rumah kerana lebih mengetahui keadaan trek tersebut.

Artikel Berkaitan:

Khairul yang muncul pelumba pertama Malaysia pernah meraih kemenangan grand prix dalam Moto3 pada 2016, juga melahirkan rasa bangga kerana dapat mewakili pasukan Malaysia dalam kejuaraan Moto2 itu, yang melibatkan ramai rakan senegara dalam struktur pasukan berkenaan.

“Saya berasa sangat selesa berada dalam pasukan ini, dan saya suka menjadi sebahagian daripada struktur pasukan ini, yang akan bersaing dalam kesemua ketiga-tiga kategori (MotoGP),” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!