Memposisikan Rukun Negara
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, maka genaplah 50 tahun Rukun Negara digubal dan dilaksanakan. Pelbagai cabaran, onak dan duri dilalui sejak Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara berperanan sebagai tonggak perpaduan kaum dan keharmonian nasional di Malaysia.
Ideologi Rukun Negara terbentuk selepas berlakunya kelompongan dalam ruang perpaduan negara selepas mencapai kemerdekaan. Lahirnya Rukun Negara membuka lembaran baharu untuk Malaysia ke arah lebih stabil dan matang dalam semua sudut khususnya dalam aspek politik, hubungan etnik dan agama.
Justeru, konsep yang terdapat dalam ideologi negara itu harus difahami dan dihayati bagi memupuk semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Bersandarkan lima matlamat utama iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara cara hidup demokratik dan mencipta masyarakat adil dengan kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil.
Namun berdasarkan insiden masa kini Rukun Negara seolah-olah masih lagi tidak dihayati. Masih wujud cabar-mencabar, pertikaian dan mengadu domba yang melibatkan hubungan kaum dan pembinaan bangsa serta keselamatan negara.
Masih ramai yang mempertikaikan sejauh mana penghayatan Rukun Negara dalam kalangan masyarakat. Hakikatnya Rukun Negara bukan sekadar prinsip dalam bentuk percetakan dan penerbitan namun jauh lebih penting ia perlu diamalkan dan menjadi budaya dalam kehidupan kita.
Jika kita amati kejadian dan kes-kes yang bertentangan dengan prinsip dan falsafah Rukun Negara bukan sahaja dilakukan oleh golongan belia namun juga melibatkan orang dewasa. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan dan platform yang jelas bertentangan dengan semangat Rukun Negara. Melalui kenyataan secara ucapan dan penulisan, lukisan, imej dan grafik melemparkan unsur yang jelek, sensitif dan berunsur perkauman.
Langkah berterusan perlu dilakukan untuk memposisikan Rukun Negara agar diamal dan dihayati. Usaha memposisi Rukun Negara dan strategi pemasaran sosial hendaklah diperhebatkan bagi menyuburkan semangat dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.
Pendekatan berterusan yang melibatkan pendidikan di peringkat prasekolah sehingga ke pusat pengajian tinggi perlu lebih tersusun dan meliputi semua aspek falsafah dan prinsip Rukun Negara. Ia perlu menjadi mata pelajaran yang perlu lulus mengikut tahap dan peringkat pengajian.
Usaha memperkenalkan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilihat mampu memantap dan menanam semangat Rukun Negara namun PLKN yang akan diperkenalkan perlu mewajibkan semua golongan belia tanpa memilih seperti yang dilakukan sebelum ini malah sudah sampai masanya Malaysia memperkenalkan kerahan tenaga atau National Service seperti yang diperkenalkan di Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta pemimpin parti politik perlu menghadiri kursus khas berkaitan Rukun Negara agar mereka menjadi contoh terbaik di mata masyarakat.
Lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara menjadi asas yang perlu disimpul rapi bagi memastikan rakyat sentiasa menerima dan memahami kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan.
Hakikatnya dalam apa keadaan sekali pun masyarakat dituntut agar sentiasa patuh dan berpegang kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
Penghayatan bukan sekadar dalam pemikiran tetapi menjadi sebati dengan tingkah laku, amalan dan cara hidup.
*Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!