Kerajaan pertimbang teruskan BDR bagi penjawat awam
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan secara mendalam untuk meneruskan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai amalan normal baharu dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Bagaimanapun menurutnya, ia memerlukan kajian lebih terperinci bagi memastikan ia dapat menepati hasrat pelaksanaannya.
"Terdapat dua objektif utama yang telah dikenal pasti iaitu untuk mitigasi risiko seperti pencemaran dan penularan penyakit dan untuk menguruskan prestasi pegawai dengan mengimbangi keperluan kerja dan keluarga serta meningkatkan kepuasan kerja dan produktiviti, " katanya dalam satu wawancara bertulis hari ini.
Antara aspek yang perlu diperjelaskan melalui kajian lanjut adalah keperluan sokongan teknologi digital, keselamatan maklumat, kesesuaian pelaksanaan kepada skim-skim perkhidmatan tertentu, serta implikasi perundangan yang terlibat.
Menurutnya, selari dengan inisiatif kerajaan untuk menimbangkan pelaksanaan BDR sebagai suatu normal baharu, penilaian juga akan dilaksanakan ke atas beberapa kemudahan awam lain yang berkaitan terutamanya kemudahan-kemudahan cuti dan pelepasan.
Beliau berkata, semua inisiatif berkenaan adalah usaha berterusan bagi memastikan penjawat awam dapat terus meningkatkan produktiviti mereka dalam konteks perubahan-perubahan faktor luaran yang terkini.
Mohd Zuki berkata, pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan perkhidmatan awam boleh berfungsi dengan berkesan walaupun dengan pelaksanaan BDR dan BDR secara fleksibel.
"Bermula dengan pelaksanaan BDR secara arahan ke atas semua penjawat awam, ia kemudian berubah kepada pelaksanaan berlandaskan kes-kes tertentu.
"Dalam kedua-dua keadaan tersebut, impak kepada produktiviti penjawat awam adalah minimum, dan perkhidmatan awam terus dapat menyokong pembukaan sektor ekonomi dan perniagaan," katanya.
Katanya, dalam tempoh tersebut, sektor ekonomi dan perniagaan telah dapat beroperasi hampir 100 peratus untuk memastikan ekonomi negara dapat dilonjakkan dan ini dapat dicapai bilamana penjawat awam dapat terus melaksanakan tanggungjawab mereka melalui kedua-dua mod tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!