Pelajar asing mengeluh
SHAH ALAM- Krisis wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia termasuk Malaysia sememangnya memberi kesan yang besar kepada hampir semua sektor.
Tidak terkecuali warga institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang kebanyakannya bergantung kepada kehadiran pelajar asing.
Kebimbangan tentang hala tuju dan masa depan selepas pasca pandemik Covid-19 bukan sahaja dirasai pengusaha atau pengurusan IPTS tetapi perasaan sama turut dirasai pelajar asing yang sedang menuntut di Malaysia.
Pelajar Kolej Uniti Port Dickson dari Yogyakarta, Indonesia, Dimas Fadhillah Ramadhan, 20, berkata, selain bimbang dengan masa depan pengajiannya, dia juga sukar meramal peluang bekerja sebaik tamat pengajian sekiranya Covid-19 mengambil masa yang lama untuk dikawal.
Menurut penuntut jurusan Diploma Pengurusan Industri Halal itu, data sebelum ini menunjukkan ramai yang kehilangan pekerjaan susulan pandemik itu dan ia pastinya akan membataskan peluang bagi dirinya untuk mendapat kerja kelak.
Katanya, disebabkan Covid-19 juga, proses pembelajaran dalam suasana normal baharu memberi cabaran kepada mereka.
“Belajar secara dalam talian merupakan antara normal baharu yang perlu kami praktikkan dan ia mengambil masa untuk betul-betul faham prosesnya,” kata beliau kepada Sinar Harian di sini semalam.
Dimas juga berkata, dia tertekan apabila lebih tiga bulan terkurung di kolej kediaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Sementara itu, kebimbangan sama turut dikongsi rakan senegaranya, Farindya Shalwa Dewi yang turut mengambil kursus Diploma Pengurusan Indusri Halal di Kolej Uniti Port Dickson.
Menurut Farindya Shalwa, apa yang menjadi kebimbangan utama adalah mengenai masa depan dirinya.
“Kerisauan saya pada saat ini adalah bagaimana proses belajar nanti? Saya berasa kurang selesa kalau hanya dengan belajar secara online kerana ia tidak memberi ruang sepenuhnya.
“Saya juga risau bagaimana masa depan saya sebaik tamat belajar kerana untuk mengikuti pengajian di sini kos yang dikeluarkan agak banyak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!