Menang derbi utara London bukan pengakhiran
[DIKEMASKINI] JOSE Mourinho menegaskan mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini mengatasi Arsenal bukan keutamaannya selepas memenangi derbi utara London di Stadium Tottenham Hotspur, malam tadi.
Sebaliknya pengendali dari Portugal itu berkata: "Saya mahu mencipta impak lebih bersama Tottenham daripada sekadar berpuas hati mengalahkan dan mengakhiri cabaran ke atas Arsenal pada penghujung musim.
"Mungkin semua akan berkata saya melihat dari sudut pandang mementingkan diri sendiri sejak saya tiba di kelab ini, tetapi secara jujur Tottenham kini berada pada kedudukan keempat kelima liga jika saingan liga dimulakan pada ketika itu tanpa dibelenggu masalah seperti sekarang.
"Sekali lagi saya nyatakan sudut pandangan saya tidak sama seperti penyokong yang gembira apabila dapat mengatasi jiran tetangga setempat seperti Arsenal pada penghujung musim.
"Cita-cita saya lebih tinggi daripada itu kerana saya mahu Tottenham melakar lebih kejayaan daripada hanya sekadar menewaskan jiran setempat," katanya.
Pada derbi utara London itu, The Gunners terlebih dulu mendahului hasil jaringan Alexandre Lacazette sebelum Son Heung-min menyamakan kedudukan untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, permainan semakin rancak, namun penyudah longlai membataskan tambahan gol sebelum jaringan minit ke-81, Toby Alderweireld sekali gus mengekalkan penguasaan Tottenham sebagai jagoan derbi utara London.
Pada masa sama tegas bekas pengendali Manchester United itu, saingan Liga Juara-Juara musim depan adalah keutamaan berbanding Liga Europa sekiranya diberikan pilihan.
"Saya suka bermain Liga Europa biarpun ini bukan kejuaraan yang saya sukai, bukan pertandingan yang saya mahukan, tetapi apabila anda tidak dapat bermain Liga Juara-Juara, anda akan bermain Liga Europa.
"Dalam karier saya, saya hanya bermain Liga Europa dua kali, dan saya memenanginya dua kali. Ia tidak buruk untuk bermain untuk kali ketiga apatah lagi memenanginya buat kali ketiga," katanya.
Mourinho juga menyifatkan pemain-pemain Tottenham berada dalam karakter tersendiri apabila bangkit dari ketinggalan satu gol biarpun beraksi di venue tanpa penyokong.
"Apa yang saya minta kepada pemain Tottenham secara taktikal yang mereka berikan kepada saya, apa yang saya minta daripada mereka dari sudut emosi, mereka memberi saya lebih banyak lagi.
"Pemain cukup hebat. Mereka beraksi seolah-olah penyokong berada dalam diri mereka. Kami berbincang sebelum ini bahawa ini bukan musim terbaik kerana tanpa penyokong tetapi itu bukan alasan tidak menghadiahkan penyokong Tottenham kemenangan bermakna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!