Tidak serik ambil dadah kali keempat
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh yang sebelum ini pernah dipenjara sehingga setahun mengaku salah mengambil dadah methamphetamine kali keempat di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Rizal Rirwan Razali, 29, dari Kampung Paya Besar, Kuala Berang, Hulu Terengganu membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan ke dalam badannya dadah berbahaya jenis methamphetamine itu yang sebelum ini dia mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) (b) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta dikenakan sebatan tidak lebih daripada tiga sebatan di bawah Seksyen 39C (1)(b) ADB 1952.
Selain itu, hukuman juga diikuti dengan perintah pengawasan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 iaitu tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yuhanis Mohd Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah seterusnya menetapkan Rabu ini untuk jatuh hukum sementara menunggu dokumen lengkap.
Isteri tertuduh bersama seorang daripada sembilan anak tirinya kini berada dipenjara kerana menjalani hukuman kesalahan menyalahguna dadah.
Tertuduh sebelum ini iaitu pada 14 Disember 2011, pernah dijatuhi hukuman empat bulan penjara dan dua tahun pengawasan oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana kesalahan sama.
Pada 17 Febuari 2016 pula, sekali lagi di mahkamah sama tertuduh dijatuhi hukuman lapan bulan penjara dan dua tahun pengawasan juga kerana menyalahguna barang terlarang tersebut.
Malah, tidak pernah serik, pada 11 Oktober 2017, tertuduh dijatuhi hukuman setahun penjara dan dua tahun pengawasan oleh mahkamah sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!