Tempahan bilik hotel di Melaka terus meningkat
MELAKA - Sektor pelancongan di Melaka menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan peningkatan tempahan hotel terutama pada hujung minggu.
Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, sejak kerajaan mengumumkan kelonggaran dengan membenarkan rakyat merentas negeri pada 10 Jun lalu, sebanyak 11,078 tempahan bilik hotel yang diterima bermula 23 Jun hingga hujung tahun ini.
Menurutnya, beliau yakin jumlah itu akan terus meningkat dan menunjukkan angka yang memberangsangkan sekali gus sebagai momentum kepada fasa pemulihan pelancongan di Melaka.
"Menerusi tinjauan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) ke atas situasi hotel pada minggu ini didapati 'occupancy rate' hotel-hotel di Melaka kebanyakannya telah mencapai lebih 70 peratus.
"Ia secara tidak langsung memberi gambaran sektor pelancongan semakin pulih dalam suasana normal baharu selain menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, BPP akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) serta Persatuan Hotel Bajet Malaysia dalam mengorak langkah memacu dan memperkasakan sektor pelancongan negeri dalam masa terdekat ini.
"Dengan adanya kerjasama itu ia akan dapat meningkatkan promosi dalam bentuk virtual khusus bagi hotel-hotel yang masih dalam proses pembukaan sepenuhnya.
"Ini juga sebagai salah satu inisiatif dan kaedah untuk meningkatkan lagi tempahan bilik hotel di Melaka dan mencapai sasaran 20 juta pelancong ke Melaka pada tahun ini," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di bandar Melaka hujung minggu lalu mendapati Jalan Bendahara mengalami kesesakan teruk sejauh lebih satu kilometer apabila kenderaan berpusu-pusu menghala ke Bangunan Stadthuys.
Bangunan bersejarah itu tidak pernah sunyi dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai bangsa dan latar belakang hingga ke Jalan Jonker Walk.
Malah duta kecil Melaka iaitu pengayuh beca turut mendapat sambutan dalam kalangan pelancong domestik dan ini membuktikan bahawa Melaka kekal menjadi negeri pelancongan yang digemari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!