Feri, bot penumpang di Sabah beroperasi kapasiti penuh
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah memutuskan khidmat feri dan bot penumpang dalam negeri dan ke Wilayah Persekutuan Labuan dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh berkuat kuasa serta-merta semalam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan pada 11 Jun lalu yang membenarkan operasi pengangkutan awam termasuk feri.
Menurutnya, kebenaran beroperasi dengan kapasiti penuh itu adalah seperti yang dinyatakan dalam lesen atau sijil pendaftaran.
Namun, katanya, pengusaha feri dan bot penumpang yang terlibat dikehendaki meneruskan pematuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Ia termasuk SOP Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi memerangi penularan koronavirus (Covid-19)," kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!