SPRM berkas tiga individu dalang tuntutan palsu lebih RM500,000

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberkas tiga individu termasuk dua beranak kerana disyaki memalsukan dokumen bagi mendapatkan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM540,000.

Pasangan anak beranak yang berusia 59 dan 36 tahun bersama seorang lagi wanita berusia 50 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada jam 2.45 petang.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek tersebut dipercayai mendalangi sindiket bagi membuat tuntutan palsu bagi laporan perubatan Orang Berinsuran (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara atau kekal dan Pencen ILAT.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak 2009 hingga 2017.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk mendapatkan perintah reman.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!