Jurutera miliki kertas soalan UPSR terlepas hukuman penjara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang jurutera terlepas hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan sabitan terhadapnya atas tuduhan memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas membenarkan notis rayuan yang dikemukakan P Prem Kumar, 40, untuk mengetepikan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen terhadapnya sebelum ini, memandangkan pihak pendakwaan tidak membantah rayuan tersebut.

Pada Oktober 2018, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Prem yang bekerja di sebuah syarikat bahan kimia di Kemaman, selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan memiliki beberapa helaian kertas soalan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Tamil, Sains dan Matematik melalui telefon bimbit jenis Iphone5.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Malay Sino Chemical PT4406 di Kawasan Perindustrian Telok Kalong di Kemaman pada jam 1 tengah hari antara 9 dan 15 September 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad dan Wan Amira Kusaini Wan Abdul Malek, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!