Lanjut moratorium industri pelancongan
KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan lagi bagi industri pelancongan kerana sektor itu adalah antara penyedia pekerjaan yang utama dan penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Matta menerusi kenyataan semalam berkata, industri pelancongan dan perjalanan telah terjejas teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan kajian menunjukkan ia hanya akan pulih daripada krisis semasa jauh lebih perlahan daripada sektor lain dalam ekonomi Malaysia.
Tambahan pula, kata Matta, pada 6 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kenyataan bahawa industri pelancongan memerlukan empat tahun untuk pulih.
Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang berkata, ramai peserta pelancongan mengalami kemerosotan pendapatan sejak Mac 2020 susulan kemelesetan dan pengangguran.
"Bergantung semata-mata kepada pelancongan domestik sahaja tidak mencukupi untuk mengekalkan perniagaan dan individu yang bekerja dalam industri ini," katanya.
Menurutnya, ketidakmampuan industri untuk membayar semula pinjaman mereka disebabkan oleh peraturan yang ketat dan permintaan lemah.
"Peminjam individu yang bekerja dalam industri hospitaliti dan pelancongan juga harus diberi lanjutan moratorium enam bulan lagi kerana ramai yang menghadapi pemotongan gaji, cuti tanpa gaji atau diberhentikan.
“Ramai yang tidak memiliki kemampuan untuk membayar balik pinjaman mereka dalam keadaan tertekan dan kadar pengangguran meningkat dengan cepat," katanya.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganggarkan kerugian yang dialami oleh industri pelancongan dan budaya bernilai RM45 bilion dari segi perbelanjaan pelancongan dan kira-kira satu juta pekerja dalam industri pelancongan di Malaysia dijangka hilang pekerjaan mereka tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!