Dua maut dalam tempoh dua minggu
DUNGUN - Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) komited menjalankan operasi menangkap lembu atau haiwan ternakan yang berkeliaran khususnya di jalan raya atau laluan utama di daerah ini.
Operasi berkenaan dilakukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, sekali gus mengelak kejadian tidak diingini termasuk kemalangan meragut nyawa disebabkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya.
Ternakan berkeliaran bagaikan perangkap maut apabila dalam tempoh dua minggu sejak 13 Januari lalu, dua kes kemalangan meragut nyawa membabitkan penunggang mengelak dan merempuh lembu berkeliaran di jalan raya dilaporkan berlaku di Bukit Besi.
Setiausaha MPD, Fadli Yusof Zakaria berkata, operasi menangkap haiwan ternakan berkeliaran di merata tempat khususnya jalan raya bukan perkara baharu kerana ia sudah menjadi aktiviti bulanan.
Menurutnya, lokasi sasaran akan ditumpukan kepada aduan penduduk dan juga tempat yang dirasakan berisiko.
"Operasi menangkap haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran bebas sehingga menganggu kacau keselamatan pengguna jalan raya memang kita adakan setiap bulan.
"Bukan dibuat apabila ada aduan atau kemalangan maut tetapi MPD mengambil tanggungjawab itu demi keselamatan orang ramai khususnya pengguna jalan raya," katanya .
Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak melelong binatang ternakan yang ditangkap sekiranya tiada tuntutan dibuat oleh pemilik.
"Selepas ditangkap, pemilik boleh menuntut semula haiwan ternakan mereka tetapi harus membayar upah untuk operasi penangkapan dan kompaun yang secara keseluruhannya berjumlah RM450.
"Bagi mengelak dikenakan kompaun, sekali gus mengelak bahaya kepada pengguna jalan raya, penternak atau pemilik haiwan ternakan harus lebih bertanggungjawab," katanya.
Mengulas mengenai punca kemalangan maut di Bukit Besi disebabkan lembu berkeliaran, Fadli berkata, lokasi tersebut berada di bawah pantauan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
"Lokasi tersebut di bawah Ketengah tetapi kita turut mengambil tanggungjawab untuk membuat tangkapan dan operasi apabila pihak mereka meminta bantuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!