Posmen jalan kaki selama 30 tahun
NILGIRIS - Seorang posmen menempuh perjalanan sejauh 15 kilometer (km) sehari selama 30 tahun untuk menghantar surat di lokasi yang tidak boleh diakses kenderaan di sekitar Tamil Nadu, India.
D Sivan, 66, terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dengan berjalan kaki melalui hutan tebal dan menyeberangi sungai, lapor NDTV.
Bukan itu sahaja, Sivan juga sentiasa berwaspada berkemungkinan diserang binatang buas bahkan dia pernah dikejar gajah dan beruang semasa melakukan tugasan itu.
Pengalaman itu juga dikongsi oleh Pegawai Pentadbiran Awam (IAS), Supriya Sahu, dengan melahirkan rasa kagum melihat kesungguhan lelaki itu melaksanakan amanah untuk menghantar surat kepada penerima.
"Tukang pos D Sivan berjalan sejauh 15 km setiap hari melalui hutan tebal untuk menghantar surat di kawasan yang tidak dapat diakses di Coonoor.
"Dikejar gajah liar, beruang, menyeberangi sungai dan air terjun, dia melakukan tugasnya dengan penuh dedikasi selama 30 tahun hingga bersara minggu lalu," ciapnya pantas tular di laman sosial.
Kisah penuh inspirasi itu telah diulang kongsi sebanyak 17,000 dan 81,700 tanda suka daripada netizen yang memuji sikap yang tidak pernah berputus asa.
Difahamkan, setiap hari Sivan terpaksa berjalan kaki di sepanjang landasan kereta api Gunung Nilgiri dari Pejabat Pos Hillgrove di daerah Coonoor untuk menghantar surat dan wang pencen kepada penduduk yang juga pekerja ladang di kawasan terpencil iaitu Singara, Marapallam yang tidak mempunyai akses pengangkutan.
Dengan berbekal gaji sebulan sebanyak 12,000 rupee (RM682) dedikasi lelaki itu terhadap kerjayanya sering menjadi bualan penduduk di daerah tersebut.
Penduduk sentiasa menghargai jasanya yang berjalan kaki walaupun sudah lanjut usia.
Selepas 30 tahun bekerja sebagai posmen di daerah tersebut, Sivan memutuskan untuk bersara.
Jasa dan pengorbanan Sivan terus disanjung tinggi oleh penduduk dan netizen yang terus mengucapkan terima kasih di segala keringatnya selama ini yang berbakti kepada masyarakat.
Mereka berpendapat Sivan layak mendapat anugerah Padma Shri iaitu salah satu anugerah penghargaan awam tertinggi di India.
Postman D. Sivan walked 15 kms everyday through thick forests to deliver mail in inaccessible areas in Coonoor.Chased by wild elephants,bears, gaurs,crossing slippery streams&waterfalls he did his duty with utmost dedication for 30 years till he retired last week-Dinamalar,Hindu pic.twitter.com/YY1fIoB2jj
— Supriya Sahu IAS (@supriyasahuias) July 8, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!