Dakwaan palsu layanan buruk terhadap PATI
SEORANG lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir berusia 25 tahun adalah individu yang dipercayai terlibat dalam dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia's Lockdown yang disiarkan media antarabangsa Al Jazeera.
Dokumentari tersebut yang berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa berlaku diskriminasi membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani pandemik koronavirus (Covid-19).
Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya siaran dokumentari itu yang mendakwa kenyataan yang diberikan Md Rayhan itu adalah tidak berasas dan menjejaskan imej Malaysia.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia turut tidak mendiamkan diri dengan menjalankan tindakan susulan. Beberapa pengendali Al Jazeera dan wartawannya telah pun dipanggil untuk disoal siasat manakala Jabatan Imigresen akan berusaha memburu lelaki Bangladesh itu dan menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Al Jazeera ternyata gagal membuat laporan berita secara profesional dan adil apabila ia hanya mendapat dakwaan daripada seorang individu untuk menuduh Malaysia melakukan diskriminasi terhadap golongan PATI.
Sebaik sahaja serangan Covid-19 mula menular di negara kita, kerajaan telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi bagi memastikan kesihatan sama ada warganegara atau PATI dalam keadaan baik.
Bagi mengelakkan virus itu daripada menular, Kementerian Kesihatan telah sedaya upaya berusaha agar setiap orang yang berada di dalam negara kita tidak terdedah pada jangkitan termasuk kalangan PATI yang ditahan dalam depot imigresen.
Perlu diingatkan, kerajaan telah menyediakan banyak peruntukan dengan membekalkan makanan, perubatan dan alat perlindungan kesihatan kepada PATI yang ditahan dalam depot imigresen.
Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan Malaysia tidak pernah mengambil tindakan keras tetapi menggunakan pendekatan prihatin terhadap PATI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!