Pekerja perlu dibayar gaji lebih tinggi
JUMAAT lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional adalah pada kadar RM2,208 sebulan iaitu dalam kelompok 10 peratus terbawah isi rumah di Malaysia.
Mana-mana pekerja yang dapat gaji RM2,208 sebulan, jangan rasa puas hati dan gembira, lebih-lebih lagi jika anda bekerja di kawasan bandar.
Zaman sekarang, dengan duit sebanyak RM2,208 itu, cukupkah untuk berbelanja dengan membeli makan, minum, bayar bil elektrik dan air, serta kereta atau motosikal, kalau ada.
Ketika ekonomi merudum kini, ramai yang diberhentikan kerja. Tidak kurang pula yang kena potong gaji bulanan. Ada yang kena potong 10 peratus malah sampai 30 peratus daripada pendapatan mereka.
Sebab itulah ramai orang kini tidak mahu lagi hidup dengan makan gaji, tapi sanggup berniaga membuka gerai di tepi jalan.
Kerajaan pun patut prihatin dan membantu membela nasib pekerja bergaji kecil ini. Cara yang mungkin dirasakan berkesan ialah menaikkan gaji minimum.
Adalah melucukan sekiranya gaji minimum masih diletakkan antara RM1,100 hingga RM1,200 sedangkan pendapatan RM2,208 sebulan sudah dianggap pada tahap miskin. Dengan kata lain, gaji minimum perlulah dikaji dan disemak semula bersesuaian dengan kos sara hidup ketika ini.
Apabila setiap kali menuntut kenaikan gaji, ramai majikan akan membantah kononnya ia akan menaikkan kos syarikat. Sesetengah majikan pula memberikan alasan, menaikkan gaji pekerja mereka belum tentu membawa kepada produktiviti yang meningkat.
Jika masalah gaji minimum tidak diatasi segera, sudah tentu ramai pekerja akan terus hidup dibelenggu kemiskinan. Maka atas sebab itulah kerajaan perlu lebih tegas menangani isu garis kemiskinan ini dengan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!