Rugi RM132,827 ditipu bomoh

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Gara-gara mempercayai 'bomoh nombor ramalan', seorang pekerja syarikat pembaikan motosikal mengalami kerugian RM132,827 setelah ditipu kononnya memenangi loteri bernilai RM1.8 juta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 33 tahun itu terperangkap dengan seorang lelaki yang menggelarkan diri sebagai 'sifu' dipercayai ahli sindiket tipu nombor ramalan.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan memenangi hadiah tiket loteri nombor ekor namun diminta membuat beberapa bayaran terlebih dahulu.

"Mangsa dari Bandar Baharu, Kedah dikatakan telah melayari Facebook dan meninggalkan nombor telefon di iklan bomoh Siam kononnya boleh membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya.

"Dia kemudiannya telah dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh dua lelaki yang mendakwa orang suruhan kepada seorang bomoh yang berasal dari Betong, Thailand. Mereka mendakwa mempunyai nombor ekor (ramalan) yang akan diberikan kepada mangsa namun perlu membuat beberapa bayaran terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Noorzainy berkata, suspek berjaya memujuk mangsa untuk membuat 19 transaksi ke dua akaun yang diberikan.

Beliau berkata, mangsa yang mempercayai suspek telah membuat transaksi dengan jumlah wang RM132,827 sejak sebulan lalu.

"Selain itu, suspek turut meminta mangsa membayar beberapa bil antaranya hospital, derma, tempat sembahyang, pembelian colok, patung berhala dan beberapa peralatan untuk upacara sembahyang yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun mangsa hanya sedar ditipu setelah suspek meminta wang tambahan. Dia yang meminta pandangan rakannya diminta agar membuat laporan polis berhubung perkara itu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!