Sultan Johor titah pantau rapi situasi banjir
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memantau rapi serta mengikuti perkembangan keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Johor sejak semalam.
Berikutan itu, baginda bertitah supaya kerajaan negeri serta jabatan dan agensi yang berkaitan membuat persediaan sepenuhnya berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
"Pasukan keselamatan perlu terus meningkatkan pemantauan dan membuat penambahan dari segi persediaan anggota di seluruh negeri.
"Ini kerana keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, begitu juga dengan penduduk yang menetap berhampiran kawasan rendah perlu berhati-hati dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini hari ini.
Sultan Johor bertitah, kerajaan negeri juga perlu memastikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mendapat keselesaan serta kemudahan secukupnya.
"Pada masa sama, pihak berkuasa khususnya Jabatan Kesihatan Johor juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta menjalankan pemeriksaan di setiap PPS bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19)," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!