Pemasangan kamera AWAS disifatkan wajar

Pemasangan kamera AWAS disifatkan langkah yang perlu terutamanya di lokasi-lokasi seperti Jambatan Pulau Pinang. (Gambar kecil: Shukri Che Wang)
Pemasangan kamera AWAS disifatkan langkah yang perlu terutamanya di lokasi-lokasi seperti Jambatan Pulau Pinang. (Gambar kecil: Shukri Che Wang)
A
A
A

BUTTERWORTH - Pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang secara menyeluruh disifatkan perlu dalam membendung kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya.

Duta Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Shukri Che Wang berkata, sudah sampai waktunya kamera AWAS dipasang dan bukan bertujuan hukuman semata-mata.

"Pemasangan AWAS di lebuh raya di seluruh negara tidak harus dilihat sebagai hukuman.

"Sebaliknya ia merupakan langkah untuk mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas," katanya.

Katanya, pemasangan lebih banyak kamera AWAS di lokasi-lokasi strategik akan dapat mengekang pengguna jalan raya daripada memandu laju di sepanjang lebuh raya berkenaan.

"Lazimnya, apabila pemandu memasuki zon kamera, mereka cenderung untuk memperlahankan kenderaan kerana mereka sedar bahawa mereka tidak boleh memandu laju secara berterusan di sepanjang laluan berkenaan.

"Ia adalah satu cara untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara kita," katanya.

Jelasnya, berikutan itu pihaknya mencadangkan agar AWAS dipasang di Jambatan Pulau Pinang bagi mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi had laju yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kajian di negara-negara yang menggunakan AWAS menunjukkan bahawa sistem itu berjaya mengurangkan kemalangan dan kematian yang berkaitan sebanyak 70 peratus.

"Saya percaya AWAS boleh mengurangkan kematian jalan raya sebanyak 30 peratus hingga 35 peratus," katanya.

Terdahulu, Plus Malaysia Berhad akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk memasang kamera had laju di Jambatan Pulau Pinang selain menambah kamera itu di beberapa lokasi lain di enam lebuh raya kendalian syarikat itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, buat masa ini Jambatan Pulau Pinang tidak mempunyai kamera had laju dan cadangan pemasangan itu bertujuan mengelak kemalangan berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!