Hajat cepat kaya terkubur, remaja rugi RM16,493
BUTTERWORTH - Seorang remaja di Sungai Dua di sini berputih mata apabila wang berjumlah RM16,493 yang dilaburkan dalam skim cepat kaya lebur ditipu sindiket itu semalam.
Difahamkan, remaja lelaki berusia 18 tahun itu menggunakan wang simpanannya dan wang ahli keluarganya untuk membuat pelaburan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa tertarik dengan satu iklan skim pelaburan sebuah syarikat di Facebook menawarkan pulangan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh 12 jam selepas melabur.
"Mangsa mendapati, iklan tersebut menyebut ia merupakan skim pelaburan sebuah syarikat yang kononnya mendapat lesen dari Bank Negara Malaysia untuk menjalankan aktiviti pelaburan dalam negara secara sah serta menjanjikan pulangan keuntungan dalam tempoh yang singkat.
"Tertarik dengan iklan tersebut, mangsa menghubungi syarikat itu dan memutuskan untuk membuat pelaburan bagi jenis Plan A sebanyak RM600, namun diminta membuat beberapa bayaran tambahan sekiranya mahu wang keuntungan terkumpul dalam akaun dibayar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Tambahnya, suspek yang merupakan seorang wanita itu mendakwa ejen syarikat tersebut yang berjawatan penasihat kewangan membuatkan mangsa percaya kepadanya.
"Mangsa yang hanya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dipujuk untuk melabur pada jumlah amaun yang kecil terlebih dahulu, kononnya mangsa berpeluang mengaut keuntungan segera berjumlah RM8,400.
"Mangsa kemudiannya diumpan agar menaiktaraf pelan pelaburan ke pakej VVIP dan dia telah membuat enam transaksi berjumlah RM16,493 ke dua akaun bank yang diberikan suspek untuk pulangan keuntungan yang luar biasa," katanya.
Noorzainy berkata, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila suspek meminta wang tambahan untuk membolehkan mangsa mengeluarkan keuntungan terkumpul dianggarkan berjumlah RM 149,577.
Jelasnya, mangsa telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!