ROSE kesan kanser serviks
Cara paling mudah, tepat dan terbaik untuk kenal pasti penyakit lebih awal
PADA masa akan datang, lebih ramai wanita dijangka akan menjalani pemeriksaan saringan kanser serviks menerusi prosedur persampelan sendiri melalui Projek Revolusi Penyaringan Penghapusan Kanser Serviks (ROSE).
ROSE dikatakan lebih mudah, selesa dan keputusannya lebih tepat.
Berdasarkan statistik, lima jenis kanser tertinggi dicatatkan di negara ini ialah barah payudara (17.7 peratus), usus (13.2 peratus), paru-paru (10.2 peratus), ymphoma (5.2 peratus) dan nasopharnyx (4.9 peratus).
Sementara kanser serviks adalah barah ketiga yang paling biasa di negara ini (7.7 peratus).
Perunding Ginekologi Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Woo Yin Ling berkata, projek penyaringan yang akan membabitkan wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an boleh melakukannya sendiri dan akan mendapat keputusan dalam tempoh tiga hari menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mengulas lanjut, beliau berkata, Projek ROSE menggabungkan tiga komponen iaitu persampelan sendiri, ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) dan platform digital yang juga sistem bersepadu pertama dilaksanakan di negara ini.
“Ia merupakan inovasi sistem pemeriksaan sendiri kanser pangkal rahim dibangunkan UM dan VCS Foundation Australia,” katanya pada majlis pelancaran Projek ROSE di ibu negara baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, jumlah kaum Hawa yang melakukan pemeriksaan pangkal rahim (serviks) masih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Direkodkan, hanya 12.8 peratus wanita di negara ini sudah menjalani pemeriksaan berkenaan.
“Statistik ini menunjukkan kita sangat jauh untuk mencapai tahap yang ditetapkan WHO. Kita dapati, wanita negara ini tidak tampil untuk menjalani pemeriksaan ini secara sukarela kerana malu dan bimbang selain halangan untuk pergi membuat ujian penyakit berkenaan” katanya.
Dengan pengenalan Projek ROSE, Wan Azizah yakin para wanita akan dapat dilakukan sendiri di rumah atau pejabat.
“Secara tidak langsung, pengamal penjagaan kesihatan juga dapat mendaftar wanita melalui telefon bimbit mereka dengan keputusan yang dihantar terus kepada pesakit.
“Dengan kata lain, wanita tidak perlu lagi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan kanser pangkal rahim dan perasaan malu serta kebimbangan untuk melakukan ujian itu dapat dihapuskan.
“Ini juga dapat mendidik wanita lebih mementingkan kesihatan dan membuat pemeriksaan secara sendiri serta meningkatkan kesedaran umum mengenai bahaya kanser pangkal rahim,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!