Bersih gesa MB Pahang beri penjelasan
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 mempersoalkan kenyataan Menteri Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail yang didakwa sebagai mengancam pengundi menjelang hari pengundian PRK Cameron Highlands, Sabtu ini.
Bersih 2.0, merujuk kepada laporan ucapan Wan Rosdy yang telah dibuat pada 21 Januari, di mana beliau menyeru kepada penonton yang hadir dalam satu program di Cameron Highlands untuk mengundi BN dan mengingatkan mereka bahawa isu tanah berada di bawah bidang kuasa negeri.
"Bersih melihat kenyataan yang didakwa oleh Wan Rosdy dengan perhatian yang serius kerana dia mengingatkan pengundi di Cameron Highlands bahawa sebagai Menteri Besar (Pahang), beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu melibatkan tanah.
"Kepada komuniti perladangan seperti di Cameron Highlands, jaminan kepemilikan tanah adalah sangat penting kerana kehidupan mereka bergantung kepadan hal itu," kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Bersih menggesa agar Wan Rosdy segera menjelaskan kenyataannya itu dan memberi jaminan kepada pengundi bahawa beliau akan menjalankan kewajipannya sebagai menteri besar dan berusaha menyelesaikan semua isu-isu tertunggak tanpa mengira siapa yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands kelak.
"Pengundi tidak sepatutnya tertakluk kepada ancaman seperti ini dan mereka bebas pilih siapa yang mereka sukai," katanya.
Tambah Bersih 2.0, kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Rosdy itu boleh dianggap sebagai memberi pengaruh tidak wajar, dan ianya merupakan satu kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dan tertakluk di bawah akta penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!