Proses gugur Speaker gugat demokrasi

Hatta, Saifuddin Nasution dan Anthony Loke
Hatta, Saifuddin Nasution dan Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menyifatkan proses pengguguran Yang Dipertua Dewan Rakyat terdahulu dan pelantikan pengganti bagi jawatan itu semalam sebagai 'tempang' serta menggugat demokrasi sedia ada.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan bersama berkata, PH kesal terhadap proses pengguguran jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sekali gus mendakwa keputusan itu menjadikan Malaysia negara pertama dalam sejarah negara Komanwel melaksanakan prosedur sebegitu.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Wira Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan bersama berkata, ia bukanlah satu duluan (precedent) yang membanggakan lebih-lebih lagi apabila prosesnya tempang sedemikian rupa.

"Kami juga berasa kesal dengan perbahasan usul tersebut di mana hanya empat orang pembahas dibenarkan berbahas dengan masa hanya 10 minit seorang.

"Bagi suatu usul yang bersejarah seperti ini, seharusnya lebih banyak masa diperuntukkan bagi mendengar sepenuhnya hujah kedua-dua belah pihak," katanya.

Semalam bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Mohamad Ariff dan pemilihan dilakukan selepas hanya ada seorang calon dikemukakan bagi jawatan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ia diluluskan Parlimen setelah memperoleh 111 undian menyokong berbanding 109 yang membantah.

Sementara itu, menurutnya, selepas usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, usul menamakan seorang Yang Dipertua baharu juga menampakkan sikap kerajaan yang seharusnya lebih demokratik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hujah pembangkang agar masa 14 hari diberikan untuk menamakan calon tidak diendahkan.

"Malah, calon Yang Dipertua Dewan Rakyat juga tidak dipersetujui secara undian di dalam Dewan Rakyat.

"PH kesal dengan sikap kerajaan hari ini yang kelihatan mahu meletakkan Parlimen di bawah telunjuk eksekutif.

"Parlimen sebagai badan perundangan (legislative) wajib bebas daripada sebarang unsur kawalan dari luar," katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, jika Parlimen dikawal pihak eksekutif maka demokrasi negara dalam keadaan tergugat.

"Kejadian semalam yang merupakan titik hitam buat demokrasi di Malaysia mengukuhkan iltizam PH untuk memastikan mandat rakyat dikembalikan ke tempatnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!