Petronas sumbang 4,850 liter pensanitasi tangan, 70 mesin dispenser
KUANTAN – Petronas menerusi Yayasan Petronas menyumbang 4,850 liter cecair sanitasi tangan serta 70 buah mesin dispenser kepada 14 buah sekolah rendah dan menengah terpilih di daerah Gebeng di sini baru-baru ini.
Pengurus Besar Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi A Rahman menyampaikan sumbangan itu kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Zaimi Abu Bakar melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
Menurutnya, sumbangan itu adalah sebagai tanda Petronas menzahirkan sokongan kepada usaha membendung risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) di kalangan pelajar di Pahang.
Che Ahmad Tarmizi berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu langkah berterusan Petronas memperkasakan kehidupan komuniti sekitar kawasan operasinya.
"Petronas komited kepada usaha-usaha yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah membendung penularan Covid-19. Justeru Petronas menyokong aspek amalan penjagaan kebersihan diri di kalangan pelajar, guru, kakitangan sekolah serta orang ramai yang berurusan dengan pihak sekolah.
“Inisiatif ini juga selari dengan saranan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Melalui agenda ketiga SDG, PBB menggariskan aspek kesejahteraan dan kehidupan yang sihat untuk semua sebagai salah satu agenda pembangunan lestari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, sumbangan tersebut juga sebahagian daripada sumbangan keseluruhan Yayasan Petronas kepada 104 buah sekolah di Johor, Kedah, Labuan, Melaka, Perak, Sabah, Sarawak dan Terengganu melibatkan 68,000 pelajar.
Katanya, Yayasan Petronas memperuntukkan perbelanjaan bernilai RM20 juta termasuk peralatan dan kelengkapan perubatan bagi membantu hospital dan petugas barisan hadapan dalam membantu mengawal pandemik Covid-19.
"Selain itu, Yayasan juga komited di dalam aktiviti menyokong komuniti setempat melalui program Sentuhan Kasih Aidilfitri, sumbangan barangan keperluan asas makanan dan kad minyak kepada 200 keluarga B40 di Kuantan dan Kuala Lipis," katanya.
Yayasan Petronas ialah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Petronas dengan matlamat utama untuk menyumbang kepada pemerkasaan masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!