Isu Speaker: Dr Mahathir bantah pelantikan Azhar
SHAH ALAM - Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kesal terhadap keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menggantikan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff dengan Datuk Azhar Azizan Harun.
Menurutnya, tiada alasan munasabah diberi dan perbahasan pula tercemar dengan tingkah laku biadab oleh beberapa wakil rakyat.
"Pihak pembangkang tidak diberi masa yang cukup untuk membahas suatu usul yang julung-julung kali dalam sejarah Dewan Rakyat Malaysia.
"Kami juga kesal apabila Speaker yang baharu dilantik terus mengambil tempat mempengerusikan mesyuarat tanpa Usul No.3 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul semasa persidangan Dewan Rakyat dibahas dan diundi oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersama lima Ahli Parlimen yang menyokongnya di sini, hari ini.
Kenyataan bersama itu disokong oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah serta Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.
Menurut kenyataan bersama itu, pembangkang telah dinafikan hak untuk mengemukakan calon Speaker apabila notis 14 hari tidak diberi berikutan berlaku kekosongan jawatan pada 13 Julai lalu.
Begitu juga dengan kedudukan bekas Timbalan Speaker, Nga Kor Ming yang seharusnya notis sama perlu dikeluarkan.
"Speaker seharusnya seorang yang ‘impartial’ atau tidak berpihak dan bukan yang dipilih untuk memenuhi segala kehendak Eksekutif.
"Agak pelik apabila Ahli Parlimen Pagoh tidak meneruskan pencalonan Datuk Azhar untuk diundi oleh Dewan Rakyat memandangkan Perikatan Nasional telah mendapat 111 undi majoriti ketika usul mengosongkan jawatan Speaker dibuat," katanya lagi menerusi kenyataan sama.
Kenyataan itu turut menegaskan Azhar Azizan yang dipilih bukanlah Speaker yang dipilih oleh Ahli Dewan Rakyat kerana proses pengundian tidak diadakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!