Suka atau benci, jangan over
SAYA menonton siaran langsung Sidang Parlimen Malaysia kelmarin kerana hendak ikuti sesi pembentangan usul tukar Yang Dipertua Dewan Rakyat. Meskipun sudah mengagak sidang itu pasti hangat dan riuh, saya hendak tonton juga gelagat ahli-ahli Parlimen berikutan dengan perubahan kedudukan kerusi mereka di Parlimen.
Dalam perbahasan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi telah bangun membahaskan usul. Seperti lain-lain pembentang, ucapannya dicelah oleh ahli-ahli Parlimen lain, meskipun terdapat sisa-sisa rasa hormat dan ruang diberikan kepada Tun.
Namun, jika kita meneliti ruangan komen di media sosial Tun seperti Facebook, kita akan dapati kian ramai netizen yang memberi komen itu semakin lantang mengkritik beliau.
Tidak sampai dua tahun yang lalu, Dr Mahathir menerima sanjungan sebagai penyelamat negara daripada apa yang dinamakan sebagai pemerintahan kleptokrasi. Jika kita ingat, ruangan Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu dikritik kiri dan kanan. Imej Najib ketika itu amat negatif. Kita tentu ingat betapa imej wajahnya turut dibadutkan.
Apabila Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kritikan terhadap Najib kian menjadi-jadi. Pada waktu yang sama, beberapa tindakan parti Pakatan Harapan (PH) telah tidak dipersetujui rakyat. Pada ketika itu, hanya Najib sahaja yang konsisten menjawab segala isu yang menghentam pemerintahan BN. Beliau menggunakan maklumat dan data sebagai bukti.
Dalam waktu yang singkat, beliau diterima kembali oleh netizen. Pandangannya disokong dan tindakan beliau dipuji sehingga lahirlah frasa ‘Bossku’ yang menaikkan kembali nama Najib. Imej beliau sinonim sebagai jurucakap rakyat. Beliau dikerumuni di mana-mana. Malah, dikatakan antara faktor kemenangan calon-calon BN dalam Pilihanraya Kecil adalah kerana pengaruh Najib.
Lihatlah betapa pandangan umum terhadap dua orang individu ini berubah 360 darjah. Yang disanjung sudah tidak diendahkan. Yang dicemuh dan dijauhi kini disukai. Apakah ini sikap kita? Hari ini menyukai seseorang hingga ke peringkat taksub.
Pada hari esoknya dia dibenci sebenci-bencinya? Apakah apabila kita sukakan seseorang, kita tidak terfikir yang satu hari nanti kita mungkin tidak akan menyukainya? Atau seseorang yang kita benci itu akan kita sayang dan suka pada hari esoknya?PendirianOrang tua berkata, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Mengapa sudah tiada pendirian berpada-pada itu? Pendirian menyukai sepenuh hati mahupun membenci sesungguh hati seolah-olah tidak memberi sedikit pun ruang kasihan belas di hati kita. Betapa kita hanya punyai perasaan hitam dan putih, tetapi tiada lagi warna kelabu? Apakah kita masih bersikap seperti orang terdahulu yang jika membenci, dendamnya disimpan hingga ke tujuh keturunan?
Bagaimana pula dalam perhubungan kita sehari-hari? Apakah hari ini kita bertegur sapa dan bertepuk tampar dengan jiran tetangga, tetapi esoknya kita membuat wajah ketat seolah-olah tidak mengenalinya semata-mata kerana kucing jiran kita itu memecahkan pasu bunga? Bagaimana pula perhubungan kita dengan teman-teman sekerja? Apakah begitu juga?
Sekiranya sedemikian, kita sebenarnya punyai masalah dalam perhubungan manusia. Kita punyai pendirian yang ideal dan punyai standard apakah yang baik dan buruk di mata kita tanpa memberi ruang kepada pandangan orang lain terhadap kita.
Jika baik, kita setuju segalanya apa yang orang lakukan sehingga ke peringkat ditolak ansur-ansur. Sebaliknya apabila tidak bersetuju, kita terus berseteru seolah-olah sudah patah arang berkerat rotan. Penat, bila perhubungan manusia kita begini.
Seelok-eloknya jika kita sukakan seseorang, kita kenalah tertib untuk menegurnya. Sebaliknya jika bencikan seseorang, janganlah sampai berasa yang kita tak akan menengok mukanya lagi. Bersederhanalah sebagai batas dalam pergaulan.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!