Utamakan rakyat ketepikan polemik

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat. -Foto Bernama
A
A
A

SIDANG Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu adalah yang bersejarah kerana merupakan sidang ulung yang menguji legitimasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Ujian itu terbukti apabila berlakunya usul kerajaan untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang berkesudahan keputusan yang memihak kepada kerajaan PN dengan undi 111 dengan satu Ahli Dewan Rakyat yang berkecuali sebagai Timbalan Speaker dan seorang Ahli Dewan Rakyat yang tidak hadir atas faktor kesihatan.

Jumlah undi yang dimiliki PN, biarpun tipis tetapi cukup untuk mengesahkan legitimasi PN sebagai sebuah kerajaan yang sah serta menjelaskan lagi ketepatan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menetapkan pemilihan jawatan Perdana Menteri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun begitu, senario dan drama yang berlaku khususnya sepanjang perbahasan tentang usul pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker menyaksikan betapa fokus perbahasan masih berlegar tentang politik dan kepentingan tanpa mengambil kira secara langsung permasalahan rakyat. Perlu diingatkan bahawa pertukaran Speaker dan Timbalannya adalah satu lumrah apabila berlakunya pertukaran pucuk pimpinan Perdana Menteri mahu pun parti yang memerintah.

Justeru, segala pertelagahan dan pertentangan yang timbul isu pertukaran Speaker seharusnya tidak menjadi satu polemik besar malah dianggap satu proses dan perkembangan biasa.

Sepatutnya platform Dewan Rakyat yang ada digunakan sepenuhnya untuk membahaskan permasalahan rakyat dan kepentingan negara. Rakyat adalah kumpulan terbesar yang terjejas ekoran pandemik Covid-19. Ada yang kehilangan pekerjaan dan mengalami masalah perniagaan yang turut memberi kesan langsung kepada pendapatan isi rumah.

Inilah masalah sebenar yang dihadapi negara, di sebalik polemik politik berterusan yang berlaku ini wujud masalah penting yang perlu lebih diutamakan. Langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai intensif semenjak berlakunya PKP tiga bulan yang lalu adalah suatu usaha yang boleh dipuji. Perdana Menteri tanpa menoleh ke belakang terus maju meneruskan Penjana sebagai satu mekanisme kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara sepantas yang mungkin.

Menariknya juga, sejak 3 bulan yang lalu sehingga kini, rakyat boleh merasai perubahan suasana yang drastik dalam negara. Isu-isu kontroversi perkauman, agama dan sensitif tidak lagi menonjol. Bahkan suasana lebih tenang dan harmoni berbanding ketika era 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang penuh dengan kontroversi dan pelbagai prasangka.

Artikel Berkaitan:

Barangkali inilah perbezaan besar yang berlaku biarpun kelihatan kerajaan PN tidak memiliki majoriti besar untuk mentadbir negara tetapi PN dilihat sangat tersusun, tidak kelam kabut dan menguruskan negara mengikut gaya pentadbiran yang berpengalaman. Barangkali juga inilah pencapaian terbesar PN sepanjang 3 bulan menerajui negara yang amat ketara perbezaannya ketika era PH.

Diharapkan pentadbiran PN dapat meneruskan ketahanannya sebagai kerajaan sehingga pembubaran Parlimen kelak demi untuk kelangsungan negara dan kemaslahatan rakyat. Negara tidak boleh terus dibiarkan berada dalam kancah polemik jawatan bakal Perdana Menteri kerana bukan itu yang diinginkan oleh rakyat.

Golongan terbanyak rakyat marhaen mahukan kehidupan yang lebih selesa, politik yang stabil, ekonomi yang makmur dan peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup sekaligus menafikan sebagai isu dan permasalahan sosial yang mungkin timbul kerana faktor kemelaratan ekonomi.

Moga PN dan negara mampu melepasi tahun-tahun yang mencabar ini.

*Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!