Ajaibnya buah delima!
Di sebalik 1,001 kebaikan, ada perkara anda perlu tahu
LAMBAKAN penyelidikan telah dilakukan berkenaan delima. Bukan sahaja ia menjadi bahan kajian pengkaji tempatan malahan Barat. Kedua-dua blok ini memang tidak menafikan kebaikan buah delima.
Kehebatan buah delima atau nama saintifiknya Punica Granatum tidak hanya meniti di bibir manusia. Delima menjadi antara enam buah-buahan yang disebut di dalam al-Quran! Sudah pasti ada sesuatu yang luar biasa di sebalik buah ini!
Ahli farmasi berpengalaman, Rahman Baco menulis bahawa delima merupakan sumber potasium baik untuk tekanan darah, jantung dan buah pinggang.
Kajian terbaharu juga mendapati, amalan mengambil sedikit jus delima pada setiap hari dapat meningkatkan kesihatan jantung.
Dalam segmen sulung Tahukah Anda?, Sihat:Aktif membawa anda menyelusuri 'keajaiban' buah yang ditanam secara semula jadi di seluruh kawasan Mediterranean dan Kausasus sejak zaman purba lagi.
1 Rawat kanser prostat
Ujian terhadap 50 lelaki minum 205 gram jus delima setiap hari berjaya mengurangkan penggandaan ukuran perkembangan kanser prostat atau Prostate Specific Antigen (PSA) dan dapat mengurangkan rawatan seperti kemoterapi atau terapi hormon.
2 Turunkan paras kolesterol
Kajian menunjukkan jus delima mengandungi dua hingga tiga kali ganda fungsi antioksida jika dibandingkan teh hijau.
3 Kurang tekanan darah tinggi
Saintis mendapati, kandungan antioksida yang tinggi secara semula jadi dapat mengurangkan tekanan darah tinggi.
4 Cegah dan melambatkan penyakit Alzheimer
Dalam sebuah kajian, tikus dibiakkan untuk mengembangkan penyakit Alzheimer diberi jus delima. Mereka mengumpulkan plak amiloid yang lebih sedikit dan melakukan tugas-tugas mental yang lebih baik.
5 Sumber nutrisi
Saintis mendapati, sebiji buah delima memiliki sekitar 40 peratus Vitamin C harian untuk orang dewasa dan mengandungi asid folat, serat, kalium, niasin termasuk Vitamin A dan E.
6 Mencantikkan kulit
Sumber asid folat dan antioksidan dalam buah delima dapat merangsang, menyahtoksid dan meningkatkan kecantikan kulit. melahirkan anak sihat dan cerdas.
7 Baik untuk ibu mengandung
Buah delima dapat melindungi otak bayi semasa kelahiran. Jusnya dapat melahirkan anak sihat dan cerdas.
Kesan negatif
Meskipun demikian, pesan Rahman khas kepada pesakit mengambil ubat khususnya rawatan penyakit jantung dan darah tinggi.
"Pastikan anda dapatkan nasihat doktor dahulu sebelum amalkan jus buah delima setiap hari. Makan buah atau minum jus delima juga boleh meningkatkan kesan sampingan ubat-ubatan seperti ubat Fluoxetine, Codeine dan Ondansetron.
"Begitu juga ubat penyakit jantung dan darah tinggi seperti ubat kumpulan ACE Inhibitor (Lisinopril, Enalapril, Captopril) yang boleh bertindak balas/dipengaruhi oleh buah delima kerana (makan buah delima bersama ubat darah tinggi) boleh sebabkan tekanan darah jadi terlalu rendah," jelasnya yang menasihatkan pesakit menjarakkan masa makan ubat dan buah tersebut.Tip Pilih Buah Delima
Sila pilih buah yang berat dan pastikan kulitnya bersih dan tidak merekah.
Buah delima boleh tahan 6 bulan jika disimpan dalam peti sejuk.
Untuk produk berasaskan delima, mohon semak label kandungan sebelum membeli. Pastikan paras gulanya tidak terlalu tinggi kerana niat baik kita untuk dapatkan khasiat delima takut nanti bertukar menjadi mimpi ngeri pula!
ANEKDOT
Tip pilih buah delima:
- Sila pilih buah yang berat dan pastikan kulitnya bersih dan tidak merekah.
- Buah delima boleh tahan enam bulan jika disimpan dalam peti sejuk.
- Untuk produk berasaskan delima, mohon semak label kandungan sebelum membeli. Pastikan paras gulanya tidak terlalu tinggi kerana niat baik kita untuk dapatkan khasiat delima takut nanti bertukar menjadi mimpi ngeri pula!
Rahman Baco
Merupakan ahli farmasi berdaftar dan berpengalaman berkerja sebagai Pegawai Farmasi di Bahagian Pennguatkuasa Farmasi dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan. Beliau kini berkhidmat sebagai Ahli Farmasi Komuniti di Pharmago Pharmacy. Rahman menulis buku berkaitan tahap halal ubat dan kosmetik beracun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!