Arsenal masih pasukan idaman pemain bintang
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta percaya The Gunners masih mampu menjadi tarikan kepada pemain bintang untuk menyertai kelab itu walaupun berkemungkinan tidak dapat beraksi dalam saingan tertinggi Eropah musim depan.
Menurutnya, Arsenal masih kekal sebagai sebuah pasukan gergasi di Liga Perdana Inggeris (EPL) berdasarkan sejarah dan fasiliti yang dimiliki pasukan itu menjadi faktor utama menjadi pilihan pemain ternama.
"Sudah tentu Arsenal masih menjadi kelab yang mahu diwakili oleh setiap pemain. Kami memiliki sejarah yang hebat dan asas bola sepak yang kuat selain berada dalam sebuah bandar yang cantik.
"Itu sudah cukup untuk menarik pemain menyarung jersi Arsenal. Saya berani berkata begini kerana saya mengikuti perkembangan pasaran pemain dan ramai pemain yang menyatakan minat bermain dengan Arsenal," katanya.
Kekalahan 1-2 kepada Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin menyaksikan The Gunners kemungkinan besar bakal terlepas slot ke Liga Europa musim depan, situasi paling buruk pernah dialami pasukan itu sejak 25 tahun lalu.
Arsenal kini berada di kedudukan kesembilan liga dibezakan empat mata dengan Sheffield United di kedudukan ketujuh liga dan perlu menang kesemua tiga baki perlawanan untuk cuba layak ke saingan Eropah.
Dalam pada itu, Arteta menegaskan peluang pasukannya untuk beraksi di peringkat tertinggi Eropah masih ada dan menuntut komitmen pemainnya untuk terus menampilkan persembahan yang baik.
"Apa yang perlu saya lakukan sekarang ialah membuat kerja saya dengan sebaik mungkin, memperkuatkan pasukan serta pemain dan memanfaatkan kemampuan mereka.
"Pada akhirnya di penghujung musim, kami perlu melihat apa hala tuju seterusnya untuk pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!