Liverpool masih perlukan Lovren
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan tidak akan melepaskan pemain pertahanannya, Dejan Lovren ke kelab lain musim depan.
Menurutnya, Lovren akan terus bersama The Reds dan kudratnya masih diperlukan untuk membantu pasukan mempertahankan kejuaraan EPL musim depan.
"Dejan Lovren merupakan pemain penting kepada pasukan dan apabila dia diturunkan, sentiasa memberikan yang terbaik dan memuaskan hati saya.
"Tidak ada masalah. Kami mempunyai empat pertahanan tengah dan kami biasanya bermain dengan dua daripada mereka dalam setiap perlawanan. Tetapi, kami memang memerlukan keempat-empat mereka. Bahagian tersebut sangat kritikal.
"Lovren pernah bermain di Liga Juara-Juara dan banyak perlawanan besar. Jadi, pengalamannya amat diperlukan," katanya.
Kontrak pemain kebangsaan Croatia itu akan tamat pada musim panas tahun depan dan The Reds dilaporkan bersedia mengaktifkan klausa dalam kontrak Lovren yang akan menyaksikan dia kekal di Anfiel sehingga 2022.
Untuk rekod, Lovren hanya tampil 10 kali dalam saingan EPl musim ini dengan Klopp lebih gemar menggunakan gandingan Virgil van Dijk dan Joe Gomez di bahagian pertahanan Liverpool.
Dalam pada itu, Klopp enggan mengulas mengenai minat yang ditunjukkan kelab Rusia, Zenit St Petersburg yang mahu merekrut Lovren.
"Tidak ada apa yang perlu diperkatakan mengenainya kepada umum. Saya rasa situasinya jelas iaitu Lovren adalah pemain Liverpool.
"Ketika ini dengan kecederaan Joel Matip, kami hanya ada tiga pemain pertahanan tengah. Kami memerlukan kualiti yang ada di bahagian tersebut untuk terus berjaya musim depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!