China akan bertindak balas susulan campur tangan Trump
BEIJING - China menyatakan ia akan bertindak balas selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangi undang-undang untuk membenarkan sekatan ke atas bank-bank berhubung kawalan ketat Beijing ke atas Hong Kong.
Akta Autonomi Hong Kong merupakan 'kenyataan memfitnah' undang-undang kebangsaan yang dilaksanakan oleh Beijing ke atas Hong Kong, kata Kementerian Luar China dalam satu kenyataan.
"China akan melakukan tindak balas yang perlu bagi melindungi kepentingan undang-undangnya dan mengenakan sekatan terhadap kakitangan dan entiti AS," tambah kementerian itu.
Menurut potal berita CNBC, akta itu akan membenarkan sekatan ke atas para pegawai dan syarikat China yang membantu Beijing melaksanakan undang-undang keselamatan ke atas para penentang di Hong Kong.
Pada Selasa lalu, Trump berkata, beliau menandatangani akta tersebut sebagai tindak balas terhadap China yang campur tangan dalam autonomi Hong Kong.
Pentadbiran Presiden AS itu sebelum ini mengkritik tindakan Beijing melaksanakan undang-undang keselamatan yang mengehadkan autonomi Hong Kong dan melarang kritikan terhadap Parti Komunis China.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!