Akta Orang-orang Papa 1977 akan dikaji semula
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji semula Akta Orang-orang Papa 1977 dengan turut melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memenuhi keperluan golongan gelandangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia termasuk penambahbaikan dari segi pengaktifan semula sekretariat penyelarasan bagi menangani isu gelandangan dan mengemis.
Menurutnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada Mac lalu, sebanyak 23 pusat gelandangan sementara dibuka bagi menempatkan 1,283 gelandangan.
"Daripada jumlah itu 50 peratus gelandangan dikesan di Kuala Lumpur, diikuti Johor (20 peratus) dan Sarawak.
"Kesemua gelandangan yang diselamatkan dijalankan ujian saringan Covid-19 dan psikologi," katanya ketika menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kementerian juga mengambil inisiatif lain termasuk menghantar pulang mereka yang masih mempunyai waris itu kepada keluarga.
"Sementara mereka yang tiada waris, kita telah menghantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!