Masih dijadikan PPS, SK Sungai Raya di Muar tidak dibuka hari ini
JOHOR BAHRU - Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya di Muar yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir tidak dapat dibuka hari ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, SK Sungai Raya mempunyai kelas yang terhad dan sempit untuk menampung jumlah murid.
Menurutnya, SK Sungai Raya adalah antara 15 sekolah yang dijadikan PPS namun 14 daripadanya beroperasi seperti biasa hari ini.
"Sebanyak sembilan sekolah rendah dan lima sekolah menengah dijadikan PPS di daerah Muar, Batu Pahat, Pontian dan Tangkak.
"Hasil pemantauan di sekolah yang dibuka hari ini, saya lihat pihak sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan baik dan semuanya terkawal.
"Sesi persekolahan juga berjalan seperti biasa dan tiada sistem penggiliran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di SK Bandar Baru Uda 2, di sini hari ini.
Hadir sama Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari.
Terdahulu, seramai 378,275 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh Johor memulakan sesi persekolahan hari ini.
Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan banjir di mana semua agensi dan jabatan kerajaan terlibat sudah bersiap sedia dari segi aset dan anggota.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!