Penguat kuasa diprovok peniaga jagung berstatus PR
SELAYANG - Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima provokasi daripada seorang warga emas yang juga peniaga jagung hingga menimbulkan perang mulut antara dua pihak seperti yang tular di media sosial pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kejadian tersebut berlaku Jumaat lalu sewaktu operasi penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar Pasar Selayang Jaya.
Menurutnya, semasa operasi dilaksanakan MPS telah mengeluarkan tiga kompaun dan tiga sitaan ke atas peniaga yang terlibat.
"Bagaimanapun anggota penguat kuasa MPS berdepan provokasi dari peniaga jagung tersebut semasa tindakan sitaan dilaksanakan.
"Peniaga tersebut yang merupakan pemegang kad pemastautin tetap (PR) gagal memberikan kerjasama hingga menimbulkan kekecohan semasa penguatkuasaan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Zin berkata, peniaga berkenaan pernah beberapa kali dikenakan tindakan amaran, kompaun dan sitaan sebelum ini namun berdegil meneruskan aktiviti perniagaan.
"Sebagai pemegang kad pemastautin tetap (PR) peniaga tersebut tidak layak untuk memohon permit penjaja berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN)," katanya.
Beliau berkata, MPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk laporan polis atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.
"Selain itu, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dibuat ke atas individu yang membuat rakaman dan menyebarkan video berkenaan.
"Tindakan tersebut telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan menjejaskan nama baik MPS," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa hari lalu video berdurasi dua minit 49 saat menunjukkan seorang lelaki yang berniaga di tepi jalan bertengkar dengan penguatkuasa MPS yang mengundang simpati netizen.
Isu itu turut menarik perhatian penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew yang telah melawat peniaga jagung tersebut sebelum berkongsi di Facebooknya.
"Kasihan rasanya. Berniaga jagung di situ dah lima tahun. Dari dulu ini saja kerjanya cuma di tempat lain. Anak semua masih sekolah. Lima masih belajar lagi. Semua rajin-rajin. dua orang di universiti. Ada anaknya yang cuti sekolah bawa Food Panda.
“Dengan rendah diri saya merayu MPS dapat membantu pakcik ini. Segala pertolongan kepada pakcik ini saya dahulukan ucapan terima kasih," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!