SUV terhumban ke laut: Suspek serah diri
BUKIT MERTAJAM - Polis telah merekodkan 15 keterangan berhubung kejadian kemalangan maut yang mengorbankan nyawa seorang pelajar kolej swasta di Jambatan Pulau Pinang di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ia termasuk keterangan daripada pemilik Toyota Vios yang terlibat dengan kejadian itu sebelum kereta yang dinaiki mangsa terhumban didalam laut.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan pagi tadi sejurus menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
"Suspek yang berusia 21 tahun datang ke IPD Seberang Perai Tengah pada jam 2 pagi bersama dengan keluarganya untuk menyerah diri.
"Dia kini direman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Nik Ros Azhan berkata, kes yang pada mulanya diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini diklasifikasikan semula dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian pada jam 2.54 pagi Ahad, SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey Yun Peng , seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios dalam kemalangan di KM4, Jambatan Pulau Pinang.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada Selasa petang.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!