Pengguna di 45 kawasan terjejas sudah terima bekalan air

Pengagihan bekalan air bersih dari Kolam Imbangan Bukit Tadun ke paip utama dan kolam air sudah bermula pada jam 9 pagi tadi. - Foto 123RF
Pengagihan bekalan air bersih dari Kolam Imbangan Bukit Tadun ke paip utama dan kolam air sudah bermula pada jam 9 pagi tadi. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna terjejas di tiga wilayah melibatkan 45 kawasan di Kuala Lumpur, Gombak dan Kuala Langat sudah mula menerima bekalan air masing-masing secara berperingkat hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, pengagihan bekalan air bersih dari Kolam Imbangan Bukit Tadun ke paip utama dan kolam air sudah bermula pada jam 9 pagi tadi.

"Pemantauan Air Selangor pada sistem agihan bekalan air mendapati pengguna di tiga wilayah sudah mula menerima bekalan air secara berperingkat setakat jam 12 tengah hari tadi.

"Justeru itu, agihan bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas akan mengikut jadual seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau sebelum itu memaklumkan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang bermula jam 9 pagi semalam siap sepenuhnya jam 11 malam tadi.

Dalam pada itu, Elina memohon pengguna yang sudah mula menerima bekalan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan agihan dapat disalurkan ke kawasan yang masih lagi mengalami gangguan.

Pengguna disarankan untuk melayari pautan khas di https://www.hentitugasssp3.airselangor.com bagi mengetahui jangkaan waktu agihan air kawasan terlibat, premis kritikal, lokasi pusat khidmat setempat, lokasi pili awam dan Stesen Pengisian Setempat untuk gangguan berjadual melibatkan LRA SSP3.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari masa ke masa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor di Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lebih 472,000 pemilik akaun di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan air berjadual selama empat hari bermula semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!