YouTuber bidas dokumentari Al Jazeera
SHAH ALAM - Dokumentari bertajuk 'East 101: Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang disiarkan Al Jazeera mengelirukan serta tidak adil terhadap usaha Malaysia mengawal penularan Covid-19 membabitkan warga asing.
Dokumentari yang menjadi bualan hangat dan kecaman daripada rakyat tempatan itu turut dibidas YouTuber Dustin Pfundheller yang mendedahkan 15 kesilapan media antarabangsa itu.
Menerusi akaun Facebook Other Side of The Truth, Dustin, memberitahu, Al Jazeera telah membuat laporan berat sebelah dan mengecewakan.
"Banyak perkara yang memberi kesan kepada Malaysia sehingga berjaya memerangi Covid-19 namun digambarkan salah oleh Al Jazeera.
"Juga, beritahu saya jika ada saya terlepas pandang. Adakah anda setuju 15 perkara ini? Satu perkara baik mengenai video Al Jazeera, ia mengajak kita berbincang dengan baik (kecuali menyekat komen)," tulisnya.
Melalui video durasi 12 minit itu, antara yang menjadi tumpuan Dustin ialah mengkritik tindakan Al Jazeera menutup ruangan komen mereka untuk laporan tersebut yang sekali gus tidak memberikan peluang kepada rakyat Malaysia dan netizen untuk menegakkan keadilan.
Dustin berkata, membuat rakaman dan mengambil gambar di kawasan keselamatan anggota polis dan tentera ialah satu kesilapan yang dikesan.
Bukan itu sahaja, Dustin memberitahu, media antarabangsa itu juga memberi tanggapan salah terhadap perkauman di Malaysia serta mengadu kononnya menteri tidak memberi respons untuk ditemubual.
YouTuber dari Amerika Syarikat itu juga berkata, laporan Al Jazeera juga tidak telus dan mengelirukan kenyataan pekerja asing dengan pendatang tanpa izin (PATI) malah tidak memahami bagaimana kaedah menangani Covid-19.
Selain itu, video yang ditonton lebih 600,000 tontonan juga berkongsi kesilapan kononnya pekerja asing digari dan dibiarkan di bawah cuaca panas malah laporan mereka menunjukkan sisi tidak baik terhadap negara.
Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 3,000 komen dari netizen yang juga memihak kepada pandangan Dustin.
Kata Sazzrina Sidek, "Terima kasih kerana menggunakan pengaruh anda menyatakan kebenaran mengenai Malaysia terhadap Al Jazeera yang melakukan kesalahan dalam laporan tersebut".
Ujar Wan Hafieyza, "Terima kasih untuk video ini. Kami rakyat Malaysia sangat menghargainya. Kami sangat kesal apabila pendatang tanpa izin membuang air kencing di hadapan frontlines... sungguh sedih bila fikirkannya".
Tambah Amir pula, dia sedih apabila melihat bagaimana media asing mengelirukan kenyataan dan menuduh negara tanpa fakta.
"Sangat setuju dengan anda dan terima kasih atas penjelasannya," katanya.
Top 15 Mistakes in Locked up in Malaysia’s Lockdown video by Al Jazeera Al Jazeera did a very biased and one-sided...
Posted by Other Side of the Truth on Tuesday, July 14, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!